KUALA LUMPUR 25 Jun - Willowglen MSC Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM15.3 juta oleh SP Power Assets Ltd dari Singapura bagi kerja-kerja penyelenggaraan sistem elektrik pelepasan separa.
Menurut syarikat, kontrak tersebut telah bermula pada 23 Jun 2025.
"Ia akan berlangsung hampir lima tahun sehingga 31 Mei 2030," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Willowglen, yang terlibat dalam sistem kawalan komputer dan pemantauan bersepadu, mencatat untung bersih RM3.02 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025.
Ini adalah peningkatan besar berbanding kerugian RM52,000 pada tempoh sama tahun lalu.
Pemulihan tersebut didorong oleh kestabilan semula operasi selepas Willowglen melunaskan sepenuhnya pelaburan dalam syarikat sekutu di Kanada pada suku sebelumnya.
Namun, hasil suku ini menurun 18.05% kepada RM40.38 juta berbanding RM49.28 juta sebelumnya, akibat sumbangan lebih rendah dari operasi di Malaysia. - DagangNews.com








