KUALA LUMPUR 26 Jun - Westports Holdings Bhd berpotensi mencatatkan pendapatan kukuh selain menunjukkan daya tahan operasi dalam beberapa tahun akan datang, disokong kenaikan tarif dan kerja-kerja pengembangan operasi yang sedang berlangsung walaupun berdepan persekitaran perdagangan global mencabar.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan "beli" terhadap pengendali pelabuhan itu dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM6.08 daripada RM5, susulan semakan menaik terhadap unjuran pendapatan.
Katanya, semakan itu mencerminkan pelarasan tarif pelabuhan yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan (MoT), yang bertujuan menyokong pelaburan infrastruktur Westports dan pertumbuhan jangka panjang.
“Pelarasan tarif adalah penting untuk menyokong pelaburan infrastruktur yang sedang dilaksanakan oleh Westports serta memastikan pertumbuhan dan daya saing Pelabuhan Klang secara mampan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kelestarian pendapatan dan pergerakan volum yang kukuh dijangka kekal, walaupun terdapat kebimbangan mengenai kelembapan perdagangan global.
HLIB menaikkan unjuran pendapatan Westports sebanyak 4.1% bagi FY25, 18.4% bagi FY26, dan 23.6% bagi FY27, berdasarkan andaian terhadap kenaikan tarif secara berperingkat yang bermula pada 15 Julai 2025.
Fasa pertama melibatkan kenaikan 15% bagi perkhidmatan pengendalian kontena, diikuti kenaikan 10% bagi perkhidmatan kontena, konvensional dan marin bermula 1 Januari 2026.
Penyesuaian tambahan sebanyak 5% akan dilaksanakan ke atas segmen yang sama pada akhir tahun tersebut.
Westports beroperasi pada kadar penggunaan optimum sebanyak 80% daripada kapasiti 14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).
Pihak pengurusan menjangkakan pertumbuhan pengendalian kontena dalam lingkungan satu angka pertengahan sehingga 2027, dengan kapasiti baharu dijangka mula beroperasi menjelang pertengahan 2028.
“Kami tidak menjangkakan kelembapan ekonomi global yang diramalkan akan memberi kesan besar terhadap jangkaan pasaran berkenaan pertumbuhan operasi jangka pendek Westports,” katanya.
Firma penyelidikan itu turut menyatakan, Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) syarikat merupakan satu perkembangan positif kepada pemegang saham dan rancangan pengembangan syarikat.
“Cadangan DRP ini dijangka dapat meningkatkan nilai kepada pemegang saham, sambil menyokong keperluan perbelanjaan modal (capex) dalam jangka sederhana," katanya.
Sementara itu, Westports meneruskan program pengembangan utamanya, yang bertujuan menggandakan kapasiti pengendalian kepada 28 juta TEU melalui pembangunan terminal kontena CT10 hingga CT17.
Kerja-kerja penggalian dan penambakan bagi CT10 dan CT11 sedang berjalan, dengan pembinaan dijadualkan bermula pada suku pertama 2027. CT10 dijangka mula beroperasi menjelang pertengahan 2028, diikuti CT11 pada akhir 2029.- DagangNews.com








