Wentel Engineering sasar pertumbuhan organik dalam sektor E&E Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wentel Engineering sasar pertumbuhan organik dalam sektor E&E Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Mac - Wentel Engineering Holdings Bhd dijangka memberi tumpuan kepada sektor elektronik dan elektrik (E&E) di Malaysia, berikutan kewujudan banyak pengeluar semikonduktor dan elektronik di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chuah Chong Syn berkata, syarikatnya yang terletak di Johor, mula terlibat dalam sektor berkenaan melalui industri pembuatan kontrak di Singapura.

 

"Fokus kami di Malaysia adalah kepada elektronik dan kejuruteraan ketepatan. Kami mahu memanfaatkan peluang yang ada.

 

"Kami menyasarkan pertumbuhan organik melalui pelanggan kami. Ini memberikan peluang untuk kami berkembang ke industri baharu terutamanya untuk memindahkan pengeluaran dari China ke Malaysia menerusi Wentel Engineering," katanya.

 

Wentel Engineering membekalkan komponen logam termasuk item individu atau dalam bentuk pemasangan separuh siap.

 

Pada tahun 2020, semasa pandemik Covid-19, syarikat melihat peluang apabila permintaan untuk mesin ujian PCR bagi ujian calitan, meningkat dengan mendadak.

 

“Ini mendorong kami memasuki bidang perubatan, bermula dengan pengeluaran mesin tersebut. Sejak itu, pelanggan kami terus berkerjasama dengan kami untuk projek-projek lain, termasuk pemindahan produk dari Eropah ke Singapura dan inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu.

 

“Kebanyakan produk yang kami hasilkan adalah untuk ujian makmal, seperti ujian penentuan darah dan analisis. Kami masih aktif dalam perniagaan ini, memfokuskan kepada aplikasi makmal,” jelasnya.

 

Chong Syn dalam pada itu berkata, permintaan terhadap teknologi seperti mesin pengimbas juga akan meningkat, terutamanya di lapangan terbang dan pelabuhan ketika kerajaan terus mengukuhkan langkah-langkah keselamatan.

 

“Oleh itu, pelanggan kami perlu mereka bentuk mesin baharu untuk memenuhi keperluan ini dan membantu kerajaan tempatan bersaing di peringkat global.

 

"Permintaan terhadap mesin keselamatan ini menyumbang kepada pertumbuhan organik kami,” katanya.

 

Dari segi pendapatan, Wentel Engineering mencatatkan hasil bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024 (FY24) sebanyak RM28.94 juta, meningkat sebanyak 8.68% berbanding RM26.62 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi fabrikasi logam, disokong oleh pemulihan kukuh dalam pasaran semikonduktor.

 

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak sebanyak 93.79% kepada RM8.43 juta, berbanding RM4.35 juta pada suku yang sama tahun 2023.

 

Peningkatan ketara dalam PBT tersebut disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi dan margin keuntungan kasar yang lebih baik.

 

Bagi FY24, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM112.43 juta, peningkatan 13.85% berbanding RM98.75 juta pada tempoh yang sama tahun 2023.

 

Pertumbuhan berkenaan terutamanya didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi produk logam separuh siap dan fabrikasi komponen logam, disokong oleh pemulihan yang kukuh dalam pasaran semikonduktor.

 

PBT kumpulan meningkat sebanyak 10.63% kepada RM20.82 juta, berbanding RM18.82 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Ia selaras dengan hasil yang lebih tinggi, peningkatan pendapatan faedah daripada hasil IPO yang diletakkan dalam deposit tetap, dan margin keuntungan kasar yang lebih baik.

 

Margin yang lebih tinggi itu dikaitkan dengan campuran produk yang menguntungkan, dengan lebih banyak produk bermargin tinggi dipesan oleh pelanggan. - DagangNews.com