KUALA LUMPUR 18 Mei - WCT Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya di Taiwan, WCT Berhad Taiwan Branch, berjaya meraih kontrak pembinaan projek infrastruktur jalan raya di Taiwan bernilai kira-kira RM152.68 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak tersebut dianugerahkan oleh WU En De Construction Co. Ltd. bagi projek “National Highway No. 1 – Addition of Gangshan Second Interchange Project (Lot I108R)”.
Skop kerja projek berkenaan melibatkan kerja-kerja jalan raya, struktur jambatan serta sistem saliran di antara Persimpangan Gaoke (Stesen Rekaan 344.5K) dan Persimpangan Gangshan (Stesen Rekaan 348.6K).
Projek tersebut dijangka mengambil masa 42 bulan untuk disiapkan bermula 1 Ogos 2026, iaitu tarikh permulaan kontrak.
Menurut WCT, nilai kontrak tersebut adalah sebanyak TWD1.22 bilion, bersamaan kira-kira RM152.68 juta.
“Kumpulan akan melaksanakan projek ini dalam tempoh yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi yang dipersetujui,” katanya dalam kenyataan itu.
WCT berkata, tiada pengarah, pemegang saham utama mahupun individu berkaitan mempunyai sebarang kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganugerahan kontrak tersebut.
Penganalisis berkata, kemenangan kontrak luar negara itu dilihat mampu mengukuhkan lagi kehadiran WCT dalam pasaran pembinaan serantau, selain menyokong aliran tempahan kerja sedia ada kumpulan. - DagangNews.com








