KUALA LUMPUR 13 Mac – Wasco Greenergy Berhad terus memfokuskan kepada pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui walaupun harga sahamnya turun sedikit selepas penyenaraian di Bursa Malaysia Disember lalu.
Pengurusan Wasco Greenergy menegaskan perniagaan dan strategi syarikat masih berjalan seperti yang dirancang dengan operasi yang kekal stabil, disokong oleh projek sedia ada, kepakaran industri yang mantap, dan hubungan lama dengan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Greenergy, Lee Yee Chong berkata pergerakan pasaran jangka pendek banyak dipengaruhi faktor di luar kawalan syarikat.
“Tanggungjawab pengurusan adalah untuk melaksanakan projek dengan konsisten, menyiapkannya dengan teliti, dan memastikan pendapatan syarikat dapat dilihat dan dijangka secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wasco Greenergy menyediakan perkhidmatan lengkap Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pengoperasian untuk dandang biomas, Penjana Stim Pemulihan Haba (HRSG), dandang gas, dan sistem penjana stim turbin.
Beliau berkata fokus utama adalah kepada kilang kelapa sawit dan industri yang ingin meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan kos operasi.
“Sejak 2022, syarikat menyiapkan 53 projek sistem stim dan menghantar 337 unit turbin stim, menunjukkan permintaan yang kukuh di Malaysia dan pasaran serantau.
“Antara projek utama tahun lalu ialah kontrak EPCC bernilai RM40.6 juta untuk membina kemudahan stim biomas 70 tan sejam di Pasir Gudang, Johor. Projek ini dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran stim pelanggan sedia ada dan siap pada 31 Julai 2027.
“Selain itu, Wasco Greenergy turut menambah beberapa projek biomas lain, termasuk dandang EFB 60 tan sejam berkecekapan tinggi, dandang biomas 20 tan sejam di Indonesia, dan dandang 45 tan sejam dengan ciri penjimatan tenaga serta pengurangan pelepasan,” katanya.
Dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, syarikat memberi keutamaan kepada pengembangan jualan dan pemasaran di Malaysia dan Indonesia, mempercepatkan pelaksanaan kontrak sedia ada serta memperkukuh perkhidmatan selepas jualan.
Beliau berkata perniagaan turbin stim syarikat terus berkembang dengan tumpuan kepada penyelesaian berkecekapan tinggi yang dapat menjana elektrik dan stim secara serentak untuk pelanggan agro-industri dan kilang kelapa sawit.
“Keutamaan jangka pendek pula adalah termasuk mendapatkan projek baharu di Asia Tenggara, Afrika, dan Amerika Latin, memperluas tawaran perkhidmatan dan mengoptimumkan prestasi turbin stim.
“Prospek industri tenaga boleh diperbaharui kekal positif, didorong permintaan untuk pengurangan karbon, pengoptimuman kos tenaga, dan amalan industri yang lebih lestari di seluruh rantau,” katanya.
Hasil IPO akan digunakan secara strategik dalam tempoh tiga tahun. Lebih 50 peratus diperuntukkan untuk pengembangan aset biomas, 7 peratus untuk pengembangan serantau di Indonesia, manakala baki 28 peratus untuk pendigitalan, penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan kapasiti perkhidmatan.
Syarikat turut memajukan strategi Build-Own-Operate (BOO), di mana mereka bukan sahaja membekal teknologi tetapi juga memiliki dan mengurus aset tenaga untuk pelanggan.
Tambahnya, Wasco Greenergy sedang meninjau peluang pembangunan BOO di pasaran Asia Tenggara lain bagi memperluas kehadiran serantau. - DagangNews.com








