KUALA LUMPUR 12 Mac — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memperoleh waran tangkap terhadap bekas Pengerusi Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB), Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah.
Karim yang juga pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas SCIB itu pernah didakwa oleh SC pada 2021 berkaitan kesalahan hampir sama melibatkan maklumat palsu dalam penyata kewangan Serba Dinamik Holdings Berhad.
Bagaimanapun, kes tersebut diselesaikan melalui kompaun selepas pihak Pendakwa Raya menerima representasi beliau, dengan penalti kompaun sebanyak RM3 juta dikenakan.
Menurut SC, Karim kini dipercayai berada di luar negara dan dikehendaki pihak berkuasa bagi kesalahan sama di bawah Seksyen 369(b)(B) akta berkenaan berhubung penglibatannya dalam menyebabkan SCIB mengemukakan penyata palsu kepada Bursa Malaysia.
Alamat terakhir Karim ialah di No. 35, Jalan Hijau Pelangi U9/51, The Lake Garden Villas Cahaya SPK Seksyen U9, 40150 Shah Alam, Selangor dan Flat -3401. 345-Burj Khalifa, Dubai, UAE
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan beliau diminta menghubungi SC bagi membantu siasatan.
SC menegaskan bahawa pendedahan maklumat kewangan yang tepat oleh syarikat tersenarai awam adalah amat penting bagi memastikan kepercayaan serta keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara.
Sehubungan itu, pengawal selia pasaran modal itu menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan yang melibatkan penyata kewangan palsu atau mengelirukan
Dalam perkembangan berkaitan SC hari ini telah mendakwa bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan syarikat itu mengemukakan penyata palsu kepada Bursa Malaysia.
Rosland didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 369(b)(B) Capital Markets and Services Act 2007 kerana menyebabkan SCIB mengemukakan Laporan Kewangan Interim bagi Keputusan Disatukan untuk suku berakhir 30 Jun 2021 yang mengandungi angka hasil sebanyak RM852.8 juta kepada Bursa Malaysia pada 30 September 2021.
Menurut pertuduhan, Rosland dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 367(1) akta sama ketika beliau berkhidmat sebagai pengarah SCIB pada masa kejadian.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan Rosland diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan sehingga perbicaraan selesai sebagai syarat tambahan jaminan.
Jika sabit kesalahan, Rosland boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak melebihi RM3 juta.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SC Mohd Hafiz Mohd Yusoff dan Hashley Tajudin bersama pegawai pendakwa Quek Yiing Huey dan Siti Sarah Kamaruzaman. - DagangNews.com








