Wabak demam babi Afrika dijangka memberi kesan minimum kepada pertumbuhan Yenher, kata HLIB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wabak demam babi Afrika dijangka memberi kesan minimum kepada pertumbuhan Yenher, kata HLIB 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb - Yenher Holdings Bhd dijangka menghadapi gangguan minimum daripada wabak demam babi Afrika (ASF)  kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research).

 

Firma penyelidikan itu berkata, Yenher kini berada pada kedudukan yang lebih baik dalam menghadapi risiko berkaitan ASF, setelah membuat peralihan kepada perniagaan ayam itik pada 2024, yang mengurangkan pergantungannya pada segmen babi.

 

“Terdahulunya, impak ASF terhadap Yenher adalah sederhana, dengan pendapatan teras merosot setiap tahun pada hanya 5.6% pada 2022 dan 2.24% pada 2023 semasa kemuncak ASF.

 

"Walaupun wabak sporadis berlaku di Malaysia, banyak kes tidak dilaporkan dan syarikat telah menunjukkan daya tahan dalam menangani cabaran sedemikian," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 


Menurut laporan media, ASF dikesan di dua ladang babi Selangor, iaitu Sungai Blankan, Sepang dan Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat, Kuala Langat.

 


Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor menjalankan ujian ke atas 25,000 babi dari 29 ladang antara 24 hingga 25 Januari 2025, mengesahkan ASF di dua ladang tersebut.

 


HLIB Research menjangkakan wabak ASF idak memberi kesan pendapatan material kepada Yenher.

 

Disebaliknya, firma penyelidikan itu berpendapat wabak ASF boleh mempercepatkan kelulusan vaksin, di mana Yenher merupakan pengedar eksklusif.

 

"Wabak itu boleh memanfaatkan Yenher kerana perhatian media yang tinggi mungkin mendorong pihak berkuasa mempercepatkan kelulusan vaksin.

 

"Yenher memegang pengedar eksklusif vaksin ASF, yang telah diluluskan untuk digunakan di Vietnam dan Filipina tetapi masih belum mendapat kelulusan di Malaysia.

 

"Memandangkan kebimbangan keselamatan makanan dan tekanan inflasi, ada kemungkinan besar vaksin Yenher akan diluluskan pada masa terdeket," kata HLIB Research.

 

Firma itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Yenher dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.45 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 16 kali merujuk kepada unjuran pendapatan sesaham (EPS) pertengahan FY26 kumpulan.- DagangNews.com