VS Industry dijangka pulih dalam tempoh April-Julai 2026 disokong pengeluaran model baharu, kata AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VS Industry dijangka pulih dalam tempoh April-Julai 2026 disokong pengeluaran model baharu, kata AmInvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – VS Industry dijangka terus melalui fasa pemulihan secara berperingkat dengan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan teras dijangka meningkat ketara bermula FY27F, kata AmInvestment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata pendapatan syarikat dijangka meningkat daripada RM3.91 bilion bagi FY26F kepada RM4.92 bilion pada FY27F dan RM5.67 bilion pada FY28F. 

 

“Pertumbuhan ini dijangka didorong oleh pengeluaran model baharu dan pelanggan baharu yang menyokong operasi syarikat.

 

“Keuntungan bersih teras (core PATAMI) dijangka RM27 juta pada FY26F, melonjak kepada RM175.8 juta pada FY27F dan RM265.4 juta pada FY28F apabila operasi kembali stabil dan margin bertambah baik.

 

“Pendapatan sesaham (EPS) juga dijangka meningkat daripada 0.7 sen pada FY26F kepada 4.5 sen pada FY27F dan 6.7 sen pada FY28F,” kata AmInvest dalam nota kajiannya hari ini.

 

Margin operasi dijangka meningkat apabila operasi kembali stabil dengan unjuran EBITDA dan EBIT yang lebih tinggi pada FY27F dan FY28F berbanding FY26F.

 

Harga sasaran saham dikekalkan pada RM0.70 sesaham, berdasarkan sasaran PE sebanyak 12.5 kali dan EPS FY27F.

 

Saham kini diniagakan pada PE hadapan hanya 4.5 kali, lebih rendah daripada purata sejarah lima tahun.

 

t

 

AmInvest berkata syarikat kini diniagakan pada nilai yang lebih rendah daripada anggaran asetnya sebanyak RM873 juta, menunjukkan saham ini mempunyai penilaian yang menarik berbanding aset sebenar yang dimiliki.

 

VS Industry merupakan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) utama dengan kilang pengeluaran di Malaysia, Indonesia, China, Vietnam, dan rancangan pembukaan kilang baharu di Filipina.

 

Pelanggan utama termasuk Customer X, pengeluar peralatan rumah berpusat di Amerika Syarikat, pengeluar kopi dan pembersih kolam dengan gabungan pelanggan ini menyumbang 76 peratus daripada pendapatan FY24.

 

Syarikat menawarkan perkhidmatan bersepadu termasuk reka bentuk acuan, pemasangan papan litar bercetak (PCBA), suntikan plastik, pemasangan akhir dan pengurusan rantaian bekalan.

 

AmInvest berkata kelemahan suku kedua FY26F adalah disebabkan kelemahan jualan musim perayaan dan kesan turun naik mata wang dengan kerugian teras sebanyak RM31 juta dan pendapatan merosot 29 peratus suku ke suku kepada RM770 juta.

 

AmInvest menyifatkan situasi itu bersifat kitaran, bukan struktur dan pemulihan dijangka berlaku lebih cepat bermula April hingga Julai 2026 dengan pengeluaran model baharu dan konsolidasi pembuatan kontrak di Malaysia serta Filipina.

 

Risiko utama termasuk kebergantungan kepada beberapa pelanggan utama dan kesan turun naik mata wang serta geopolitik, walaupun syarikat mempunyai mekanisme pemindahan kos kepada pelanggan dengan masa kelewatan kira-kira dua suku. - DagangNews.com