KUALA LUMPUR 27 Mac - VS Industry Bhd dianggar terus menghadapi persekitaran pasaran mencabar kerana kebanyakan pelanggan lebih berhati-hati kesan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, sesetengah pelanggan menggunakan pendekatan yang lebih berhati-hati untuk membuat tempahan di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai potensi tarif AS.
Katanya, sumbangan hasil daripada pelanggannya yang berpangkalan di AS dijangka menurun, dengan pelarasan inventori untuk pelanggan berkemungkinan berterusan sehingga 3QFY25.
"Sementara itu, permintaan untuk mesin pembancuh kopi kekal tidak berubah, walaupun tempahan dijangka meningkat menjelang akhir 3QFY25, serentak dengan pelancaran produk baharu dan stok inventori Krismas.
"Selain itu, kumpulan itu menjangkakan prospek pendapatan 3QFY25 yang lebih lemah apabila pelanggan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap keputusan tarif AS," katanya dalam satu nota kajian.
Mengenai anak syarikatnya yang baru ditubuhkan di Filipina, VS Philippines Inc, HLIB berkata, kumpulan itu bersedia untuk memulakan pengeluaran tidak lama lagi tetapi mungkin mengalami tekanan pendapatan awal disebabkan ketidakcekapan operasi dan kekangan tenaga kerja.
Pada Jun 2024, VS Industry telah memperbadankan anak syarikat baharu di Filipina khusus untuk menyokong permintaan pengeluaran Pelanggan X di AS. Pengubahsuaian telah selesai dan pemasangan mesin akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
"Kumpulan itu kini bersedia untuk menjalankan pengeluaran percubaan, dengan pengeluaran besar-besaran untuk dua model yang disahkan dijangka bermula dalam tempoh dua bulan akan datang.
"Bagaimanapun, VS Industry meramalkan tekanan pendapatan awal daripada segmen ini disebabkan tempoh tunggu hasil, ketidakcekapan operasi pada bulan-bulan awal, dan sedikit kelewatan dalam mendapatkan dan melatih tenaga kerja," katanya.
HLIB telah menyemak turun unjuran pendapatan FY25/FY26/FY27 sebanyak 43%/ 27%/ 25% mencerminkan pelarasan kepada hasil dan margin.
"Kami menurunkan penarafan kepada "pegang" berbanding "beli" dengan harga sasaran lebih (TP) rendah 86 sen daripada RM1.33 sesaham," katanya. - DagangNews.com








