KUALA LUMPUR 23 April – ViTrox Corp Bhd menjangkakan momentum pertumbuhan berterusan sepanjang 2026, disokong perkembangan pesat industri semikonduktor global yang kini memasuki fasa pengembangan kukuh.
Prestasi itu menyusul selepas kumpulan mencatat keuntungan bersih suku pertama berakhir 31 Mac 2026 sebanyak RM51.2 juta, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM24.16 juta yang direkodkan setahun lalu.
Menurut syarikat itu, pencapaian berkenaan merupakan yang kedua tertinggi dalam sejarah suku tahunan, selain yang tertinggi sejak suku kedua tahun kewangan 2022.
Hasil kumpulan turut melonjak 89.2% kepada RM267.05 juta berbanding RM141.12 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
ViTrox berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh peningkatan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), pengembangan pesat infrastruktur pusat data serta pemulihan kukuh harga memori global.
Mengulas prospek industri, syarikat itu merujuk unjuran Gartner yang menjangkakan pasaran semikonduktor global berkembang 64% pada 2026 dengan nilai melebihi AS$1.3 trilion.
“Segmen semikonduktor berkaitan AI dijangka menyumbang kira-kira 30% daripada hasil industri, manakala pelaburan dalam infrastruktur AI oleh syarikat hyperscaler dijangka meningkat lebih 50%, sekali gus memacu permintaan terhadap GPU dan pemecut khusus,” katanya.
Sejajar itu, ViTrox memperkukuh tumpuan kepada aplikasi pembungkusan termaju yang memerlukan penyelesaian pemeriksaan berketepatan tinggi.
Kumpulan itu turut memperkenalkan produk baharu, termasuk siri QX1 yang direka untuk pemeriksaan sinar-X 3D resolusi ultra tinggi bagi komponen elektronik kompleks.
Dalam masa sama, ViTrox menegaskan pihaknya akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan melaksanakan pengurusan kos secara proaktif bagi menangani cabaran seperti turun naik mata wang dan ketidaktentuan geopolitik. - DagangNews.com








