Velesto, Icon Engineering bekerjasama bangunkan projek pelantar kepala telaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto, Icon Engineering bekerjasama bangunkan projek pelantar kepala telaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Velesto Energy Berhad dan Icon Engineering Pty Ltd memeterai perjanjian bagi menyediakan pelantar kepala telaga yang akan dipasang menggunakan pelantar penggerudian untuk pembangunan minyak dan gas luar pesisir di negara ini.

 

Melalui penyepaduan kerja penggerudian dan pemasangan pelantar luar pesisir, kedua-dua syarikat berkata, pendekatan itu menawarkan model pembangunan yang praktikal dan menjimatkan kos bagi medan minyak cetek dan medan marginal.

 

Ia juga memudahkan pelaksanaan projek, mengurangkan keperluan modal, serta memastikan penghantaran yang lebih teratur dan boleh dijangka.

 

Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak menyampaikan hasil yang praktikal dan berkesan kepada pengendali industri.

 

"Kerjasama itu memudahkan pelaksanaan projek, meningkatkan jaminan pelaksanaan serta memperkukuh keupayaan Malaysia dalam membangunkan projek luar pesisir yang pantas dan berdaya saing — sekali gus memastikan sektor huluan negara kekal kompetitif dan berdaya tahan pada masa depan.

 

"Bagi Velesto, ia merupakan pencapaian penting yang menunjukkan fokus berterusan kami untuk meluaskan peranan pelantar penggerudian kami melebihi aktiviti penggerudian semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Icon, David Field berkata, syarikatnya menjadi perintis dalam pemasangan pelantar berasaskan pelantar penggerudian di seluruh dunia.

 

“Pendekatan kami secara konsisten mengurangkan kos pembangunan dan risiko dengan menghapuskan keperluan menggunakan kapal angkat berat berskala besar.

 

"Kerjasama ini membolehkan pengendali menggabungkan kerja pemasangan pelantar dan penggerudian telaga dalam satu skop bersepadu, sekali gus memudahkan penyelarasan dan pelaksanaan projek,” katanya. - DagangNews.com