KUALA LUMPUR 14 Mac - Velesto Energy Bhd sedang giat mengembangkan operasinya di Asia Tenggara, dengan dua pelantar kini mengintai peluang di Thailand, Vietnam dan Indonesia iaitu pasaran utama yang pernah diterokainya sebelum ini.
Presidennya, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, strategi itu sejajar dengan usaha syarikat untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan kehadirannya di rantau ini.
"Pada masa ini, tiga pelantar milik Velesto Energy terus beroperasi dengan Petronas Carigali Sdn Bhd dan satu kontrak pelantar di Malaysia sedang dalam rundingan," katanya kepada SunBiz.
Pasaran minyak dan gas Asia Tenggara dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lebih 4% sehingga 2030, didorong oleh permintaan industri terhadap gas asli dalam peralihan tenaga dan perkembangan ekonomi.
Beliau berkata, dengan pasaran pelantar boleh laras di Malaysia dan Asia Tenggara yang kekal stabil, Velesto Energy sedia berdepan perubahan pasaran seperti turun naik harga minyak dan persaingan serantau.
Bagi pasaran domestik, beliau menambah, prospek permintaan untuk pelantar boleh laras kekal stabil, dengan aktiviti yang berterusan dalam sektor huluan Malaysia.
"Walaupun aktiviti penggerudian baharu mungkin berada pada kadar yang lebih perlahan pada 2025, penggerudian sedia ada tetap menjadi keutamaan kerana Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan pengendali serantau terus mengekalkan pengeluaran," katanya.
Velesto Energy mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM276.1 juta bagi suku keempat yang berakhir 31 Disember 2024, membawa pendapatan penuh tahun (FY24) kepada RM1.36 bilion, meningkat 12% berbanding RM1.21 bilion pada FY23.
Keuntungan selepas cukai bagi suku tersebut adalah RM55.2 juta, menyumbang kepada keuntungan selepas cukai penuh tahun sebanyak RM207.7 juta, melebihi RM99.5 juta yang dicatatkan pada FY23 dengan lebih dua kali ganda.
Keputusan cemerlang kumpulan itu dipacu oleh kadar sewa harian purata yang lebih tinggi sebanyak RM523,200 sehari berbanding RM418,013 sehari pada FY23 dan penggunaan pelantar yang lebih tinggi pada 87% berbanding 83% pada FY23 dalam segmen perkhidmatan penggerudian, serta penyiapan projek i-RDC.
Mengenai keutamaan strategik Velesto Energy untuk 2025 dan perancangan untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, Megat Zariman berkata, syarikat komited untuk memaksimumkan pulangan pemegang saham melalui kecemerlangan operasi, kecekapan dan disiplin kewangan.
Syarikat menyasarkan 99% masa penggunaan armada, memanfaatkan prestasi cemerlang Naga 4 dan Naga 6, yang mencatatkan penggunaan tinggi pada 2024.
"Bagi memastikan pendapatan jangka panjang, Velesto Energy aktif membida projek di Thailand, Vietnam dan Indonesia sambil mengutamakan kontrak jangka panjang.
"Bagi memastikan keuntungan berterusan, syarikat menggunakan teknologi automasi untuk mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan proaktif untuk mencegah kerosakan atau masalah," katanya.
Dengan pinjaman jangka panjang telah dibayar sepenuhnya, Velesto Energy berada dalam kedudukan tunai bersih, membolehkan syarikat meningkatkan nisbah pembayaran dividen hampir 50%, sambil terus meneroka peluang untuk meningkatkan pulangan pemegang saham. - DagangNews.com








