KUALA LUMPUR 6 Mac — Uzma Berhad, yang berjaya melancarkan satelit pencerapan bumi pertamanya, Uzma SAT-1 pada 14 Januari 2025, kini sedang berusaha pula mendapatkan kontrak antara RM300 juta hingga RM350 juta dalam perniagaan itu.
Phillip Capital berkata, sebahagian besar daripada bidang berkenaan dijangka datang berdasarkan konsep model bina-operasi-pemindahan (BOT) dengan Uzma telah mengenal pasti tiga aliran pendapatan menerusi usaha niaga ini.
Ini termasuk pembinaan secara tulen yang kebiasaannya dalam tempoh satu hingga dua tahun, menerusi BOT yang membolehkan syarikat tersebut mampu membina asas pendapatan berulang, dan juga kerja pengimejan.
"Uzma menyasarkan usaha niaga angkasa lepas baharu ini menyumbang lebih 10 peratus daripada pendapatan tahun kewangan 2026 (FY26), yang tidak kami masukkan ke dalam andaian pendapatan kami," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut firma penyelidikan itu, syarikat berkenaan juga membida untuk tiga kontrak tambahan, kerana ia mahu mengembangkan bahagian pasarannya dalam segmen lif gas buatan.
Sementara itu, Phillip Capital berkata, perniagaan pam tenggelam elektriknya semakin mendapat perhatian selepas Uzma memperoleh kontrak RM2 juta untuk dua unit sebagai sebahagian daripada projek percubaan di Arab Saudi.
Pengurusannya juga merancang untuk menggunakan semula modal daripada projek WIF Marsya untuk membiayai projek solar masa depan, yang dijangka membayar sepenuhnya hutang menjelang separuh pertama 2026.
Ini ujar firma penyelidikan itu, bertepatan dengan garis masa perolehan projek solar skala besar (LSS5+) yang dijangkakan pada awal 2026.
Uzma katanya, juga disokong oleh buku pesanan yang sihat bernilai sebanyak RM3.1 bilion.
Mengenai kewangannya, Phillip Capital berkata, momentum pendapatan Uzma dijangka meningkat pada FY26, walaupun penurunan pendapatan yang dilihat pada FY25.
Ia akan didorong oleh sumbangan LSS4, projek kemudahan suntikan air kedua dan berdasarkan tahap buku pesanan yang kukuh.
Uzma berdagang pada nisbah harga empat kali ganda hadapan FY26 yang menarik kepada nisbah pendapatan.
“Kami mengulangi saranan ‘beli’ dan harga sasaran RM1.10 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan lapan kali ganda pada ramalan pendapatan sesaham FY26. Hasil dividen sebanyak 3.4 peratus sepatutnya membantu memberikan sokongan kepada harga saham,” katanya.
Bagaimanapun ia juga memberi amaran mengenai risiko utama termasuk pesanan kerja yang lebih rendah daripada jangkaan daripada pelanggan, kelewatan projek yang tidak dijangka dan sebarang peningkatan dalam kos pelaksanaan projek. - DagangNews.com








