KUALA LUMPUR 16 April - Uzma Bhd memperoleh tiga kontrak daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan peralatan dan perkhidmatan unit tiub bergelung atau coiled tubing (CTU), sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen perkhidmatan telaga minyak dan gas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Uzma berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikatnya, Setegap Ventures Petroleum, melibatkan skop perkhidmatan telaga yang menyeluruh termasuk intervensi, penyempurnaan, pengaktifan semula telaga terbiar serta aktiviti peningkatan pengeluaran di Sarawak dan Sabah.
Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan mempunyai tempoh lima tahun bermula 13 Februari 2026 hingga 12 Februari 2031, namun nilai perolehan tidak didedahkan.
Dalam kenyataan berasingan, Uzma memaklumkan ia akan menggerakkan peralatan CTU serta kepakaran teknikal bagi menyokong aktiviti telaga sepanjang fasa pembangunan dan pengeluaran, dengan tumpuan terhadap pengoptimuman output, peningkatan prestasi aset serta kecekapan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed berkata, penganugerahan itu mencerminkan kesiapsiagaan operasi serta keupayaan pelaksanaan syarikat dalam mengendalikan projek berskala besar.
“Keupayaan kami menggerakkan aset sedia ada dan pasukan berpengalaman pada skala besar menjadi perbezaan utama dalam menyokong operator seperti PETRONAS Carigali.
“Kontrak ini turut mencerminkan kekuatan kami dalam melaksanakan program intervensi dan penyempurnaan yang kompleks dengan selamat dan cekap di pelbagai lokasi,” katanya.
Tambah beliau, asas aset yang kukuh serta tenaga kerja teknikal berpengalaman membolehkan mobilisasi pantas dan penyampaian perkhidmatan yang konsisten, khususnya dalam persekitaran operasi yang mencabar dari segi logistik.
Uzma berkata kontrak jangka panjang itu memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih jelas serta mengukuhkan peranannya sebagai rakan strategik dalam ekosistem tenaga Malaysia. - DagangNews.com








