KUALA LUMPUR 10 Feb – UUE Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Konnection Engineering Pte Ltd memperoleh dua kontrak baharu daripada Wee Guan Construction Pte Ltd di Singapura melibatkan pemasangan paip HDPE dan kabel kuasa 400kV serta aksesori berkaitan di West Jurong Island.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UUE berkata nilai keseluruhan kedua-dua kontrak dianggarkan sebanyak S$21.75 juta bersamaan lebih kurang RM67.46 juta.
“Kontrak ini dijangka berjalan sehingga 31 Disember 2027.
“Konnection Engineering akan bertindak sebagai sub-sub-kontraktor, manakala Wee Guan Construction berperanan sebagai sub-kontraktor.
“Kontrak utama dianugerahkan oleh SP PowerAssets Limited melalui kontraktor utama Taihan Cable & Solution Co Ltd. dan China International Water & Electric Corp (S) Pte Ltd,” kata UUE dalam makluman tersebut.
Skop kerja kontrak melibatkan penyediaan bahan, tenaga kerja, peralatan dan aksesori lain yang diperlukan bagi pemasangan paip HDPE menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD).
Buku tempahan UUE kini meningkat kepada RM576 juta dengan penambahan dua kontrak baharu ini, sekali gus menyokong jaminan keuntungan yang kukuh untuk 24 hingga 36 bulan akan datang.
Sementara itu, Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Ting Kok Hwa pula menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda yang memberangsangkan daripada operasi di Singapura, dengan aktiviti mula meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Ini terutamanya selepas UUE memperkukuh kerjasama dengan pengendali utiliti nasional Singapura, SP PowerAssets.
“Kejayaan ini adalah pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap keupayaan pelaksanaan kami yang mantap dan rekod pencapaian Konnection di Singapura, kerana kami bersedia untuk mengendalikan standard infrastruktur kuasa 400kV ber-voltan tinggi.
“Ia juga menyerlahkan kemampuan kami untuk bersaing secara berkesan dan memenuhi keperluan teknikal serta peraturan yang ketat di pasaran, walaupun berpangkalan di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








