Utar dan HAMI Ecofarms bangunkan projek penanaman tembikai susu guna kaedah pertanian lestari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Utar dan HAMI Ecofarms bangunkan projek penanaman tembikai susu guna kaedah pertanian lestari

KUALA LUMPUR 18 Feb - Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan HAMI Ecofarms Sdn Bhd menjalin kerjasama dalam satu projek penanaman tembikai susu di Rumah Hijau Taman Pertanian Kampus Kampar institut pengajian tinggi berkenaan dalam usaha menggalakkan pertanian lestari.

 

Inisiatif itu bertujuan untuk melahirkan bakat muda serta menyumbang kepada pembentukan sistem makanan yang lebih lestari sambil melibatkan pemegang kepentingan utama termasuk petani dalam proses penyelidikan, inovasi dan pembuatan keputusan.

 

Projek tersebut juga memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman secara langsung dalam bidang pertanian lestari.

 

UTAR

 

Dekan Fakulti Sains Utar, Profesor Madya Dr Lim Tuck Meng berkata, rumah hijau itu menjadi tempat bagi pelajar untuk meneroka dan menjalankan penyelidikan, membolehkan mereka lebih memahami kepentingan kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan.

 

"Projek penanaman tembikai susu ini membolehkan pelajar mempelajari realiti pertanian lestari, termasuk cabaran dan penyelesaian yang dihadapi oleh petani organik.

 

"Ia turut mendedahkan generasi muda kepada amalan pertanian lestari bagi memastikan kesinambungan dalam kaedah pertanian yang mesra alam," katanya seperti laporan The Borneo Post.

 

Pengasas HAMI Ecofarms, Aw Chee Choy pula berkata, kerjasama berkenaan membolehkan pihaknya berkongsi pengetahuan tentang penanaman tembikai susu sambil mendidik pelajar mengenai teknik pertanian lestari.

 

"Kelestarian penting untuk masa depan. HAMI Ecofarms mengutamakan pertanian organik, kelestarian dan produk berkualiti tinggi," ujarnya.

 

Beliau berkata, kaedah pertanian lestari turut dilaksanakan dalam projek penanaman tembikai susu itu antaranya amalan unik memijat buah untuk meningkatkan kualiti penghasilan.

 

Selain itu katanya, mereka turut menggunakan baja organik dan kompos untuk kesihatan tanah, melaksanakan Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) melalui pembinaan rumah hijau dengan jaring berlapis sebagai kaedah mengawal serangga perosak dan menggunakan sistem penyiram untuk meningkatkan kecekapan pengairan.

 

"Bakul plastik berat yang telah dikitar semula digunakan untuk penanaman, mengukuhkan komitmen projek ini terhadap kelestarian," jelasnya.

 

UTAR
Dari kiri berdiri Pengasas HAMI Ecofarms, Aw Chee Choy, Ketua Jabatan Sains Pertanian dan Makanan Utar, Dr Ali Yassoralipour dan Dekan Fakulti Sains Utar, Profesor Madya Dr Lim Tuck Meng bersama tiga mahasiswa yang mengusahakan tanaman tembikai susu di Rumah Hijau Taman Pertanian Kampus Kampar Utar.

 

Projek penanaman tembikai susu itu dipimpin oleh Ketua Jabatan Sains Pertanian dan Makanan Utar, Dr Ali Yassoralipour dengan sokongan kepakaran daripada HAMI Ecofarms.

 

Buat masa ini, rumah hijau seluas 120 meter persegi itu ditanam dengan empat jenis tembikai susu iaitu Asahi, Sagami, Mizuki dan Akane.

 

Tiga pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Pertanian Utar iaitu Ellina Saad, Vernon Chu Yen Han,dan Vanesa Vrinnda Lawrence turut terlibat aktif dalam projek berkenaan di bawah Skim Penyelidikan Sarjana Muda Utar (URS).

 

Tugas mereka termasuk memangkas, memeriksa kesihatan tumbuhan, memantau kelembapan tanah, melakukan pendebungaan manual, serta mengambil bacaan kekonduksian elektrik (EC) dan keasidan (pH) bagi memastikan pembajaan yang betul.

 

Utar dan HAMI Ecofarms berhasrat untuk mengembangkan lagi usaha pertanian mereka dengan menanam tomato ceri, labu putih dan labu butternut pada masa depan. - DagangNews.com