KUALA LUMPUR 25 Jun – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh komitmen terhadap memeterai Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd.
Melalui kerjasama itu, USIM akan melaksanakan pemasangan sistem solar berkapasiti 5.5MWp yang dijangka menjimatkan bil elektrik sehingga RM350,000 pada tahun pertama, sekali gus menyumbang kepada pengurangan jejak karbon universiti.
Prof Datuk Ts. Dr. Sharifudin berkata, projek itu bukan sekadar pelaburan infrastruktur kampus, sebaliknya pelaburan kepada masa depan lestari negara.
"Ia juga membuka ruang kepada inovasi, penyelidikan, dan pembelajaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui di USIM," katanya dalam satu kenyataan.
Projek itu dilaksanakan secara rumusan Solar Tanpa Perbelanjaan Modal (zero capex) tanpa sebarang kos awal daripada pihak universiti.
Majlis itu berlangsung di Rajah Brooke Ballroom, Nilai Springs Resort Hotel, disaksikan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani bersama barisan pengurusan tertinggi TNB dan GSPARX.
Sebanyak 80% sistem solar akan dipasang di kawasan terbuka seperti parkir, manakala baki 20% di atas bumbung bangunan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Bahagian Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman berkata, pemasangan itu berpotensi mengurangkan 3,696 tan metrik karbon dioksida setiap tahun.
"TNB, melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX, komited memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
"Usaha ini turut menyokong pelan peralihan tenaga TNB selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mencapai 70% kapasiti tenaga boleh baharu dan sifar bersih karbon menjelang 2050," katanya.
Majlis turut diserikan dengan gimik pelancaran sebagai simbolik permulaan rasmi projek, menandakan langkah besar USIM dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan mendukung aspirasi Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022–2040 serta NETR.

Kerjasama itu sekali gus mengukuhkan kedudukan USIM sebagai peneraju universiti Islam mampan dan berdaya saing di peringkat global.- DagangNews.com








