KUALA LUMPUR 12 Feb - Seorang usahawan Malaysia, terlepas daripada hukuman penjara di Australia selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM9.6 juta dalam urus niaga jual beli hartanah kepada Mara Inc.
Hukuman penjara terhadap Dennis Teen atau nama sebenarnya, Teen Boon Lye ditangguhkan kerana ciri-ciri unik kes berkenaan dan keadaan peribadinya yang tidak diperincikan.
Sebaliknya, dia dijatuhi hukuman penjara 21 bulan yang juga tertangguh bagi satu pertuduhan pemalsuan akaun.
Hakim Michael O’Connell berkata, ini bukan jenayah yang tiada mangsa kerana rakyat Malaysia telah kerugian RM9.6 juta.
"Saya menerima hujah pembelaan Boon Lye yang menyatakan bahawa perjanjian penipuan itu diberikan kepadanya ketika dia berada dalam keadaan tidak berdaya," kata O’Connell seperti laporan portal berita news.com.au.
Boon Lye didakwa pada Julai 2020 kerana memberi rasuah kepada pegawai Malaysia bagi memastikan penjualan Dudley House kepada Mara serta empat tuduhan pemalsuan akaun berkaitan jualan tersebut.
Pembelian hartanah itu, bersama dengan satu lagi hartanah di London, sedang disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).
Jawatankuasa itu mendapati, Mara membeli hartanah yang dinilai lebih tinggi dan tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Mara Inc adalah anak syarikat milik penuh Mara Corp di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Mahkamah Australia diberitahu bahawa Boon Lye bekerjasama dengan kenalan untuk membeli tanah dan membangunkan asrama pada 2013, namun projek itu mengalami kesulitan kewangan dan setelah beberapa bulan, dia mula mencari pembeli.
Mara Inc bersetuju membeli pembangunan tersebut dengan harga RM50.14 juta pada Oktober 2012 dan Boon Lye 'dipermainkan oleh perantara yang berunding bagi pihak Mara selama berbulan-bulan sebelum itu' yang mengatakan terdapat 'perjanjian dalaman untuk membeli hartanah tersebut dengan harga RM63.47 juta pada Februari 2013.
Perbezaan sebanyak RM13.34 juta itu perlu dibayar oleh Boon Lye kepada sekumpulan pegawai Malaysia, termasuk Zach Zainal dan Erwan Azizi, lapor Sydney Morning Herald pada 2020, memetik dokumen mahkamah dalam pertuduhan terhadap usahawan tersebut.
Selepas urus niaga hartanah itu diselesaikan pada Mac 2013, Boon Lye membantu mengeluarkan invois palsu dari syarikat Malaysia bagi perkhidmatan yang tidak wujud, termasuk 'nasihat profesional' dan 'yuran perundingan dan nasihat' bagi memastikan pembayaran itu kelihatan seperti perbelanjaan perniagaan yang sah.
Kesalahan memberi rasuah kepada pegawai awam asing di Australia membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM5.05 juta atau kedua-duanya sekali.
Menurut laporan news.com.au, Hakim O’Connell mendapati, RM9.54 juta daripada wang yang dibayar, atau tiga daripada empat invois tersebut, tidak mempunyai asas yang sah dan merupakan rasuah untuk memastikan urus niaga tersebut berjalan lancar.
O’Connell menyatakan, perniagaan Boon Lye berdepan masalah aliran tunai dan kelewatan dalam pembinaan, menyebabkan dia terpaksa mencari penyelesaian selama lebih setahun.
"Perjanjian itu dibentangkan kepada Boon Lye ketika dia berada dalam keadaan tidak berdaya selepas dipermainkan selama berbulan-bulan," ujarnya.
Mahkamah juga menerima 10 rujukan peribadi yang menggambarkan Boon Lye sebagai seorang pemimpin masyarakat, individu yang rajin bekerja dan pemurah, manakala keluarganya tetap memberi sokongan walaupun terkejut dengan pertuduhan tersebut.
O’Connell bagaimanapun bertegas, Boon Lye boleh dipenjara jika melakukan sebarang kesalahan lagi dalam tempoh 21 bulan akan datang. - DagangNews.com








