Usaha SkyWorld muncul antara 30 pemaju terbesar ASEAN berdepan banyak cabaran — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha SkyWorld muncul antara 30 pemaju terbesar ASEAN berdepan banyak cabaran — TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 Jun — Usaha SkyWorld Development Berhad merealisasikan sasaran bercita-cita tinggi untuk muncul antara 30 pemaju hartanah terbesar di Asia Tenggara menjelang 2040 mungkin berliku.

 

Menurut analisis TA Securities, kumpulan itu perlu berdepan dengan banyak cabaran besar ketika prestasi kewangan lalu baru sahaja melalui tahun yang paling sukar dalam tempoh kebelakangan ini.


Persoalan itu ujar firma tersebut, menjadi perhatian selepas syarikat memperkenalkan pelan hala tuju jangka panjang SkyWorld 2040, yang menetapkan sasaran untuk memperoleh jualan RM10 bilion.


"Kumpulan itu turut mengunjurkan pelancaran projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM12 bilion dan untung selepas cukai (PAT) RM1 bilion dalam tempoh lima tahun pertama mulai FY27," jelasnya.


TA Securities berkata, walaupun FY26 dijangka menjadi titik terendah prestasi, pihak pengurusan yakin pemulihan pendapatan akan mula kelihatan pada FY27 dan menjadi lebih ketara menjelang FY28.


Tambahnya, pemulihan SkyWorld bakal disokong projek-projek utama seperti Vesta, Pearlmont dan beberapa pembangunan baharu yang memasuki fasa pengebilan lebih aktif dalam tempoh akan datang.


Ujarnya, walaupun FY27 dijangka mencatatkan pemulihan, sebahagian besar sumbangan hasil itu akan tertumpu pada separuh kedua tahun kewangan berikutan penyerahan projek pada suku keempat FY27.


"Pelan SkyWorld 2040 menandakan peningkatan ketara aspirasi pertumbuhan syarikat, termasuk sasaran pertumbuhan pendapatan tahunan melebihi 20% dan pulangan ekuiti (ROE) 15%," kata TA Securities.


Bagi menyokong agenda tersebut jelas firma penyelidikan itu, kumpulan berkenaan merancang projek baharu yang bernilai RM2 bilion setahun, termasuk SkyWorld Cassia di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Artikel berkaitan: SkyWorld lancar pelan strategik 2040, sasar RM1 bilion untung bersih fasa pertama

 

SkyWorld_DagangNews2026



Selain pengukuhan pasaran domestik, syarikat merancang pengembangan serantau dengan Vietnam dikenal pasti sebagai destinasi luar negara pertama, selain menilai peluang di beberapa negara.


Antaranya tambah TA Securities, ialah pasaran hartanah di Indonesia dan Filipina yang dikenal pasti semakin pesat dengan mempunyai permintaan amat tinggi terhadap perumahan kos mampu milik.


"Bagaimanapun, kami berpandangan sasaran ditetapkan SkyWorld itu memerlukan pelaksanaan yang konsisten, kadar jualan lebih kukuh serta pengisian bank tanah baharu secara berterusan," katanya.


Sasaran jualan RM10 bilion bersamaan kira-kira RM2 bilion setahun adalah lebih tinggi berbanding unjuran semasa yang menjangkakan jualan tahunan sekitar RM1.7 bilion bagi FY27 hingga FY29.


Malah kata TA Securities, bagi mencapai sasaran PAT terkumpul RM1 bilion, SkyWorld perlu menjana RM646 juta keuntungan sepanjang FY30 hingga FY31, atau purata kira-kira RM323 juta setahun.


Jelasnya, ia lebih tinggi daripada asas keuntungan semasa syarikat, namun dari sudut kewangan, kedudukan kunci kira-kira masih kukuh dengan nisbah gearan bersih 0.25 kali setakat akhir FY26.


"Keadaan tersebut sekali gus memberi ruang kepada syarikat untuk memperoleh tanah baharu, melabur dalam teknologi pembinaan PPVC dan melaksanakan pengembangan serantau," kata firma berkenaan.


Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan FY27 hingga FY29 tanpa perubahan serta mengulangi saranan 'beli' terhadap saham SkyWorld dengan harga sasaran (TP) 68 sen sesaham.


Walaupun pelan SkyWorld 2040 menyediakan naratif pertumbuhan jangka panjang, penarafan semula harga saham hanya berlaku jika syarikat berjaya membuktikan keupayaan pelaksanaan. - DagangNews.com