KUALA LUMPUR 26 Jun - Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi usaha sama (JV) SD Guthrie Bhd dan Menteri Besar Inc Negeri Sembilan (MBINS) untuk pembangunan tanah seluas 300 hektar dianggarkan berada dalam julat RM1 bilion hingga RM3 bilion, dengan jangka masa pelaksanaan melebihi lima tahun.
Kenanga Research berkata, SD Guthrie terlibat dalam penjualan tanah secara langsung serta bekerjasama dengan MBINS melibatkan tanah seluas 600 hektar di Pasir Panjang berhampiran Port Dickson.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 300 hektar akan dijual secara langsung kepada MBINS, manakala baki 300 hektar lagi akan dibangunkan secara usaha sama antara SD Guthrie dan MBINS.
Keseluruhannya, tanah seluas 600 hektar ini akan membentuk sebahagian daripada Zon Bebas Port Dickson (PDFZ), iaitu satu inisiatif kerajaan Negeri Sembilan untuk mentransformasikan Port Dickson.
Menyentuh mengenai kesan terhadap pendapatan, Kenanga Research berkata, nilai ekonomi yang boleh dikaitkan kepada SD Guthrie termasuklah keuntungan pelupusan awal hasil daripada penjualan terus 300 hektar kepada MBINS.
Terdapat juga keuntungan pelupusan apabila baki 300 hektar dipindahkan ke dalam usaha sama, serta bahagian keuntungan daripada pembangunan usaha sama tersebut.
“Kami menganggarkan GDV bagi 300 hektar yang terlibat dalam usaha sama ini berada dalam julat RM1 bilion hingga RM3 bilion, dengan tempoh pelaksanaan yang mungkin menjangkau lima tahun atau lebih lama.
“SD Guthrie turut menyatakan, urus niaga jual beli dan usaha sama tersebut dijangka dimuktamadkan sebelum pertengahan 2026, dengan kerja-kerja infrastruktur bermula pada separuh kedua tahun 2026,” katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY26.
Firma penyelidikan itu menyatakan, pada awal tahun ini, SD Guthrie telah menyatakan jangkaan untuk mencatatkan keuntungan pelupusan sebanyak RM500 juta, yang telah diambil kira dalam ramalan pendapatannya.
Setakat tahun ini, SD Guthrie telah mengumpul kira-kira RM300 juta dalam keuntungan pelupusan tanah daripada projek yang telah diselesaikan. Masih terdapat kira-kira RM200 juta ruang baki daripada anggaran keuntungan pelupusan sebanyak RM500 juta untuk tahun ini.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “market perform” dengan harga sasaran (TP) RM4.60 sesaham. - DagangNews.com








