Usaha IJM agih pulangan RM3 bilion kepada pemegang saham berpotensi tingkatkan hasil, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha IJM agih pulangan RM3 bilion kepada pemegang saham berpotensi tingkatkan hasil, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 Mei — Rancangan IJM Corporation Berhad mengagihkan pulangan RM3 bilion kepada pemegang saham dalam tempoh tiga tahun menjadi pemangkin utama pertumbuhan hasil jangka panjang.

 

Usaha tersebut turut menarik minat penganalisis terhadap prospek kumpulan itu walaupun prestasi kewangan syarikat berkenaan bagi FY26 dinilai mengecewakan pasaran susulan penyusutan keuntungan.


Langkah strategik itu melibatkan penyenaraian IJM Construction (IJMC), penjanaan aset lebuh raya dan pengunduran berperingkat daripada operasi di India yang dijangka membuka nilai yang lebih besar.


"Kami mengekalkan saranan 'beli' tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.82 berbanding RM3.10 selepas disemak unjuran hasil FY26 dan FY27 masing-masing 18% dan 22%," kata MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, kerugian bersih teras IJM sebanyak RM90.4 juta pada 4QFY26, susut berbanding keuntungan RM169.6 juta setahun lalu, walaupun hasil naik 4.2% kepada RM1.87 bilion.


Menurutnya, segmen hartanah menjadi penyumbang utama kelemahan prestasi apabila kerugian sebelum cukai (LBT) RM93.4 juta dalam suku itu disebabkan jualan rendah dan perbelanjaan pembangunan.


Bagaimanapun, MBSB Research masih berpandangan positif terhadap prospek kumpulan disokong strategi pembukaan nilai yang agresif menerusi pelan realisasi nilai pemegang saham bernilai RM3 bilion.


"Kami difahamkan yang IJM ada menyasarkan pulangan secara kumulatif sekitar 83 sen sesaham atau bersamaan hasil hampir 40% dalam tempoh tiga tahun selain beberapa strategi dirancang,” katanya.


Antaranya, kumpulan itu akan membuka nilai RM1.2 bilion menerusi penyenaraian IJMC menjelang 3QCY27, RM575 juta daripada penjanaan lebuh raya serta RM165 juta hasil pengunduran operasi India.


Pada masa sama jelas MBSB Research, segmen pembinaan terus menunjukkan momentum kukuh dengan hasil FY26 melonjak 41.1% kepada RM3.62 bilion disokong buku tempahan terkumpul RM14.7 bilion.


Pengurusan IJM tambahnya, sudah pun menyasarkan kontrak baharu sebanyak RM9 bilion bagi FY27 dengan tender semasa bernilai RM18 bilion termasuk projek pusat data (DC) berjumlah RM6 bilion.

 

Potensi Kenaikan Saham IJM Masih Menarik

Sementara itu, RHB Research dalam analisisnya turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan berkenaan namun dengan TP sesaham yang baharu iaitu RM3.05 berbanding RM3.20 sebelum ini.


"Penilaian tersebut berdasarkan keuntungan teras FY26 sebanyak RM332 juta merosot 37% tahun ke tahun (YoY), kurang memenuhi jangkaan disebabkan prestasi lemah oleh segmen hartanah," katanya.


Bagaimanapun, firma penyelidikan berkenaan masih lagi optimis melihat pelan pembukaan nilai syarikat tersebut sebagai pemangkin utama penarafan semula saham IJM dalam tempoh sederhana.


Ujar RHB Research, pelan pengagihan RM3 bilion melalui usaha penyenaraian IJMC, penjanaan nilai lebuh raya, serta pengundurannya dari India akan menjadi faktor utama menyokong sentimen pelabur.


Tambahnya lagi, segmen pembinaan kekal menjadi tunjang utama kumpulan tersebut apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) FY26 meningkat 27% hasil aktiviti kerja yang lebih aktif terutama projek DC.


"Selain itu, segmen perindustrian turut mencatat pertumbuhan stabil dengan PBT bertambah kira-kira 9% disumbangkan menerusi kerja penghantaran cerucuk dan konkrit bancuh siap yang lebih tinggi.


RHB Research berkata, IJM kini memiliki buku tempahan mencecah RM14.7 bilion dengan sasaran kontrak baharu sebanyak RM9 bilion bagi FY27 termasuk pelbagai projek DC dan bangunan industri.


Firma itu turut menyifatkan potensi kemenangan projek infrastruktur baharu seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang sebagai pemangkin tambahan kepada saham IJM pada masa depan. - DagangNews.com