Untung Sime pada 2QFY25 susut 86.7% kepada RM305 juta, isytihar dividen 4 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Sime pada 2QFY25 susut 86.7% kepada RM305 juta, isytihar dividen 4 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Untung bersih Sime Darby Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) menyusut 86.7% kepada RM305 juta berbanding RM2.29 bilion setahun lalu, kerana keputusan tahun lepas dirangsang oleh keuntungan sekali sahaja daripada penjualan Ramsay Darby Care.

 

Hasil kumpulan bagi suku tersebut meningkat 14.2% kepada RM17.7 bilion, berbanding RM15.5 bilion pada tahun kewangan sebelumnya 2QFY24.

 

Keuntungan bersih teras bagi suku tersebut berjumlah RM305 juta, peningkatan 13.4% berbanding RM269 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Prestasi Kumpulan didorong terutamanya oleh bahagian UMW, yang menyumbang RM272 juta dalam keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berikutan jualan kenderaan Perodua yang lebih tinggi.

 

"Bagi suku dalam tinjauan, bahagian perindustrian mencatatkan PBIT sebanyak RM337 juta, mencerminkan penurunan kecil sebanyak 4%.

 

"Operasi Australasia bahagian itu mencatatkan keuntungan yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh kesan penurunan harga alat ganti akibat daripada dolar Australia yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Bagaimanapun, sumbangan lebih tinggi daripada operasi Malaysia dan Singapura membantu mengurangkan kesannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bahagian kenderaan melaporkan pengurangan PBIT sebanyak RM118 juta pada 2QFY25 disebabkan jualan yang lebih rendah di Malaysia dan Australasia, diimbangi oleh jualan kenderaan elektrik (EV) yang lebih tinggi di Singapura.

 

Bagi enam bulan pertama FY25(1HFY25), untung bersih kumpulan berjumlah RM1.1 bilion, peningkatan 32.9% daripada tempoh yang sama tahun lepas tanpa kehadiran operasi kumpulan yang dihentikan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, walaupun berdepan pasaran mencabar, kumpulan itu masih mencatatkan keputusan yang baik.

 

Katanya, operasi kumpulan di China terus terjejas oleh persaingan sengit yang mengakibatkan margin yang lebih rendah.

 

"Pasukan kami telah berusaha untuk meningkatkan hasil selepas jualan, mengurus kos dan menambah baik pusing ganti inventori yang menghasilkan aliran tunai operasi yang lebih tinggi," katanya.

 

Sime mengumumkan dividen interim sebanyak 3 sen sesaham dan dividen khas 1 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. - DagangNews.com