KUALA LUMPUR 13 Mac – Scientex Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM135.18 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2026, meningkat 9.1% berbanding RM123.95 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lonjakan prestasi kewangan ini didorong terutama peningkatan kecekapan operasi dan pengoptimuman kos dalam segmen pembungkusan.
Di samping itu jelasnya, pengiktirafan hasil yang stabil daripada projek hartanah yang sedang berjalan dan jualan memberangsangkan daripada pelancaran baharu, turut membantu kumpulan itu.
"Hasil kumpulan bagi 2QFY26 meningkat kira-kira 2.8% kepada RM1.14 bilion berbanding RM1.11 bilion pada 2QFY25, manakala segmen pembungkusan mencatatkan keuntungan operasi RM49.0 juta," katanya.
Situasi itu jelas Scientex, didapati melonjak 16.3% daripada sebanyak RM42.1 juta, meskipun hasil syarikat terkesan oleh faktor penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

Justeru tambahnya, jumlah volum jualan menunjukkan peningkatan melalui kecekapan operasi yang lebih baik, sementara segmen hartanah mencatatkan hasil naik kira-kira 8.3% kepada RM513.6 juta.
Keuntungan operasi segmen ini jelasnya, turut bertambah kepada sebanyak RM143.6 juta, disokong oleh permintaan kukuh terhadap tawaran perumahan mampu milik di kawasan perbandaran strategik.
"Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2026, kumpulan ini mencatatkan pendapatan terkumpul sebanyak RM2.29 bilion dengan keuntungan bersih berjumlah RM278.09 juta," kata kenyataan itu.
Untuk prospek masa hadapan, segmen hartanah dijangka kekal berdaya saing dengan pelancaran fasa baharu yang sejajar dengan permintaan pasaran dan sokongan persekitaran pembiayaan yang stabil.
Sementara itu kata Scientex, segmen pembungkusan terus memberi tumpuan kepada inovasi produk dan pengurusan kos yang proaktif bagi mendepani ketidaktentuan pasaran global. - DagangNews.com








