KUALA LUMPUR 25 Feb - Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatat keuntungan operasi lebih rendah pada RM512.4 juta pada suku keempat tahun kewangan (4QFY24) walaupun hasil operasi meningkat 4.6% kepada RM3 bilion pada suku itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat telekomunikasi itu berkata, hasil operasi pada suku tersebut dibantu oleh data, perkhidmatan telekomunikasi lain dan bahagian pendidikan.
Dalam pada itu, segmen B2B merekodkan hasil operasi sebanyak RM781.9 juta pada suku semasa, merosot sebanyak 2.7% atau RM21.5 juta, pada suku yang sama tahun lepas.
Segmen B2B yang dahulunya dikenali sebagai TM One, berfungsi sebagai cabang rumusan perusahaan dan kerajaan milik TM.
Fungsinya termasuk menyediakan perkhidmatan digital, awan, ketersambungan, rumusan pintar dan menawarkan rumusan keselamatan siber.
Namun begitu, TM berkata, penurunan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh hasil yang lebih tinggi daripada projek pelanggan dan perkhidmatan penyumberan luar.
Pada tahun kewangan dalam tinjauan, kumpulan melaporkan hasil operasi sebanyak RM11.71 bilion, mencerminkan peningkatan stabil sebanyak 0.2% (RM22.2 juta) berbanding RM11.69 juta tahun lepas.
Keuntungan operasi kumpulan pada FY24 meningkat 11.3% kepada RM2.33 bilion.
Dengan kos kewangan lebih rendah dan pengiktirafan baki kredit cukai sekali sahaja, keuntungan bersih kumpulan bagi FY24 ialah RM2 bilion , mewakili pertumbuhan 7.8% daripada RM1.87 bilion yang dicatatkan tahun lepas.
Sementara itu, kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 12.5 sen sesaham. - DagangNews.com








