KUALA LUMPUR 23 Okt - Untung bersih Country View Berhad pada suku ketiga berakhir 31 Ogos 2025 (3QFY25) naik kepada RM15.06 juta berbanding RM6.06 juta pada tahun sebelumnya disokong kemajuan kerja kedai berkembar tiga tingkat Aurora Avenue di Iskandar Puteri, Johor.
Katanya, hasil kumpulan juga naik kepada RM79.03 juta berbanding RM41.93 juta pada 3QFY24.
"Jualan bagi unit Bumiputera Aurora Avenue pada peringkat lanjutan pembinaan pada harga jualan yang lebih tinggi selain dipacu jualan rumah mampu milik di bawah skim Rumah Mapu Milik Johor (RMMJ) di Taman Nusa Sentral," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung bersih kumpulan pada 9MFY25 juga naik kepada RM63.51 juta berbanding RM15.07 juta disokong peningkatan hasil kepada RM296.05 juta berbanding RM136.12 juta pada 9MFY24," katanya.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, projek infrastruktur utama seperti Projek Landasan Berkembar Elektrifikasi Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang sedang dijalankan pada masa ini dijangka meningkatkan lagi keterhubungan rentas sempadan serta aktiviti ekonomi.
Katanya, bersama dengan inisiatif berterusan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ), pemacu pertumbuhan ini dijangka merangsang permintaan terhadap hartanah kediaman, komersial dan perindustrian di Iskandar Malaysia.
"Selain itu, minat asing yang semakin meningkat, khususnya daripada pelabur Singapura, terus menyokong trajektori peningkatan sektor hartanah — terutamanya di Iskandar Malaysia.
"Dengan harga hartanah yang lebih rendah berbanding Singapura, wilayah Iskandar Malaysia kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan dan pemilikan rumah," katanya.- DagangNews.com








