Untung bersih Well Chip naik 72% kepada RM86 juta bagi FY25 disebabkan pajakan harga emas mahal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Well Chip naik 72% kepada RM86 juta bagi FY25 disebabkan pajakan harga emas mahal

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 AprilWell Chip Group Berhad mencatatkan prestasi kewangan positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan keuntungan bersih meningkat 72.4% kepada RM86.15 juta.


Peningkatan keuntungan yang ketara berbanding RM49.98 juta pada tahun kewangan sebelumnya, dipacu terutama kenaikan harga emas global membolehkan pelanggan memajak barangan emas pada nilai tinggi.


Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, prestasi positif pada FY25 itu turut disokong oleh peningkatan keuntungan segmen pajakan gadai teras, dan pembukaan empat cawangan.


"Hasil keseluruhan turut meningkat 21.6% kepada RM270.20 juta berbanding RM222.13 juta pada FY24, dengan segmen perkhidmatan pajakan gadai muncul sebagai penyumbang utamanya," kata Well Chip.


Ia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 50.3%, dengan pinjaman pajak gadai dikeluarkan berjumlah RM2.3 bilion, manakala margin untung kasar kumpulan bertambah kepada 58.4% berbanding 47.3% pada FY24.


Setakat 31 Disember 2025, kumpulan tersebut sudah mengendalikan sejumlah 27 cawangan pajak gadai dan lima cawangan runcit di Johor dan Perak, dengan rancangan perluasan ke negeri-negeri lain.


Pengerusi Well Chip, Mak Lye Mun berkata, FY25 merupakan tahun merekodkan hasil bersih tertinggi dalam sejarah kumpulan, mencerminkan daya tahan operasi dan pelaksanaan strategi berdisiplin.


“Pertumbuhan ini dipacu faktor penambahan cawangan dan sokongan rakan perbankan yang menyediakan modal tunai yang cukup untuk kami dapat mengembangkan baki belum terima,” katanya dalam kenyataan.


Bagi prospek masa hadapan, kumpulan akan fokus kepada operasi cawangan yang sedia ada, selain terus meneroka peluang pengembangan organik dan pemerolehan strategik di Semenanjung Malaysia.


Sejajar dengan prestasi kukuh tersebut, Lembaga Pengarah Well Chip mencadangkan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak RM0.051 sesaham, yang berjumlah kira-kira RM30.6 juta bagi FY25.


Kumpulan itu komited untuk mengekalkan dasar dividen sekurang-kurangnya 35% daripada untung bersih bagi tiga tahun kewangan pertama selepas penyenaraiannya di Bursa Malaysia. - DagangNews.com