Untung bersih Volcano susut 70% kepada RM537,000 bagi 2QFY26 akibat kerugian tukaran wang asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Volcano susut 70% kepada RM537,000 bagi 2QFY26 akibat kerugian tukaran wang asing

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 FebVolcano Berhad masih lagi mencatatkan keuntungan bersih, namun susut 69.54% kepada RM537,000 bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM1.76 juta pada 2QFY25.


Penurunan keuntungan ini didorong terutamanya oleh kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasikan berjumlah RM0.85 juta serta peningkatan perbelanjaan pelunasan sebanyak RM0.56 juta.


Katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, walaupun keuntungan bersih menurun, hasil kumpulan meningkat 24.64% kepada RM24.93 juta berbanding RM20.00 juta pada suku yang sama tahun lalu. 


"Segmen plat nama kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM15.21 juta (61.01%), manakala segmen bahagian acuan suntikan plastik menyumbang RM9.72 juta (38.99%)," jelas kenyataan Volcano.


Bagi tempoh kumulatif selama enam bulan berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih mencatatkan sebanyak RM392,000, merosot kira-kira 78.94% berbanding RM1.86 juta pada 6MFY25 sebelumnya. 


Kemerosotan prestasi ini sebahagian besarnya berpunca daripada kos susut nilai dan pelunasan yang tinggi iaitu RM1.10 juta berikutan permulaan operasi loji pengeluaran kedua kumpulan di Thailand.


Bagaimanapun kata Volcano, pendapatan terkumpul enam bulan melonjak 26.93% kepada RM49.62 juta, yang mencerminkan pertumbuhan permintaan semakin kukuh daripada kedua-dua divisyen perniagaan.


"Mengenai prospek masa hadapan, kami menjangkakan persekitaran pasaran bagi segmen plat nama dan suntikan plastik akan terus mencabar akibat kebimbangan ekonomi global," tambah kumpulan itu.


Antara risiko yang boleh menjejaskan potensi syarikat berkenaan jelasnya, termasuk isu tarif dari Amerika Syarikat (AS), kadar inflasi tinggi, dan permintaan yang perlahan daripada industri pengguna akhir. 


Pihak pengurusan Volcano berpendapat keputusan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 akan kekal positif, tertakluk kepada kestabilan rantaian bekalan dan kadar pertukaran mata wang.


Kumpulan berkenaan namun turut membayar dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.2 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025 pada 16 Disember 2025. - DagangNews.com