Untung bersih Top Glove pada 3QFY25 susut 31% kepada RM34.7 juta akibat saingan sengit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Top Glove pada 3QFY25 susut 31% kepada RM34.7 juta akibat saingan sengit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Untung bersih Top Glove Corp Bhd bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Mei 2025 (3QFY25) menyusut sebanyak 31% kepada RM34.7 juta berbanding RM50.6 juta disebabkan persaingan yang semakin sengit dan penyusutan nilai dolar AS berbanding ringgit.

 

Kumpulan itu berkata, pada suku sama tahun lalu turut mereka mendapat manfaat daripada hasil pelupusan tanah.

 

Walaupun keuntungan menurun, hasil suku tahunan meningkat sebanyak 30% kepada RM830.3 juta berbanding RM636.9 juta, didorong oleh peningkatan 45% jumlah jualan, mencerminkan pemulihan permintaan global yang berterusan.

 

Top Glove berkata, purata harga jualan (ASP) sarung tangan kekal kompetitif, manakala kos bahan mentah menunjukkan penurunan suku tahun ke suku tahun. Harga purata lateks semula jadi menurun sebanyak 9%, manakala lateks nitril turun 4%.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mei 2025 (9MFY25), keuntungan bersih melonjak kepada RM70.5 juta berbanding kerugian bersih RM58.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, disokong oleh lonjakan hasil sebanyak 55% kepada RM2.6 bilion dan peningkatan 65% jumlah jualan.

 

Pengarah Urusannya, Lim Cheong Guan berkata, prestasi suku ketiga terjejas akibat cabaran ketara, terutamanya ASP yang lebih rendah, persaingan yang sengit, dan penjimatan kos yang disalurkan kepada pelanggan.

 

“Namun begitu, adalah sesuatu yang membanggakan bahawa kami kekal mencatat keuntungan sambil berjaya meningkatkan jumlah jualan

 

“Selain itu, prestasi terkumpul sembilan bulan kami terus menunjukkan perkembangan yang stabil ke arah tahap sebelum COVID-19, yang lebih menggambarkan keadaan sebenar kerana keputusan suku tahunan boleh menjadi lebih tidak stabil akibat tekanan.

 

“Ini menunjukkan keberkesanan fokus berterusan kumpulan terhadap penambahbaikan kualiti dan kecekapan kos, serta kecekapan kami dalam bertindak balas terhadap perubahan dinamik pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

 

Top Glove menamatkan suku tersebut dengan baki tunai dan baki bank sebanyak RM305.2 juta, turun daripada RM351.2 juta pada permulaan tahun kewangan.

 

Jumlah liabiliti meningkat kepada RM1.65 bilion daripada RM1.12 bilion setakat akhir Ogos 2024 disebabkan terbitan sukuk kanan bernilai RM800 juta bagi membiayai semula sukuk tanpa tempoh matang syarikat.

 

Walaupun berdepan ketidaktentuan global, Cheong Guan kekal optimis terhadap prospek jangka panjang.

 

“Kami percaya unjuran jangka panjang masih positif memandangkan sarung tangan merupakan barangan keperluan merentasi pelbagai sektor, yang akan mendorong permintaan global yang berterusan.

 

“Kami juga komited untuk terus memberikan nilai kepada para pemegang kepentingan kami, sambil kekal berpegang kepada prinsip pertumbuhan yang bertanggungjawab dan lestari,” katanya.- DagangNews.com