Untung bersih TMC Life Sciences naik 450% kepada RM11 juta bagi 1HFY26 disokong hasil mampan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih TMC Life Sciences naik 450% kepada RM11 juta bagi 1HFY26 disokong hasil mampan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 AprilTMC Life Sciences Berhad mencatatkan pemulihan prestasi dengan keuntungan bersih meningkat 450% bagi separuh pertama tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025. 


Menurutnya, peningkatan secara drastik ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan hasil yang mampan serta momentum operasi semakin kukuh meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran pasaran semasa.


Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak kepada RM11.0 juta bagi 1HFY26 berbanding RM2.0 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.


"Pendapatan sepanjang enam bulan itu pula berjaya meningkat kira-kira 26% kepada RM204.0 juta, berbanding hanya sebanyak RM162.4 juta yang dicatatkan pada 1HFY25," tambah TMC Life Sciences.


Sementara itu jelas kumpulan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu ini, perolehan sebelum faedah, cukai, susur nilai dan pelunasan (EBITDA) melonjak 69% kepada RM37.2 juta.


Prestasi suku kedua FY26 secara rasminya kembali mencatat pemulihan dengan keuntungan bersih RM6.56 juta, berbanding kerugian bersih RM0.95 juta pada suku kedua tahun fiskal sebelumnya .

 

TMC Life_DagangNews


Pencapaian ini selari dengan fasa 'Reset & Rebase' yang dilaksanakan TMC Life Sciences dalam tempoh 100 hari pertama, serta komitmen kumpulan itu menjadikan FY26 sebagai tahun pemulihan.


"Fokus utama kumpulan pada ketika ini adalah kepada pengukuhan disiplin operasi, pengoptimuman kos, dan pemantapan model penjagaan yang berasaskan kepada nilai," jelas syarikat berkenaan.


Kumpulan itu juga melaporkan peningkatan dalam pendapatan sesaham (EPS) kepada 0.63 sen daripada 0.11 sen, serta kedudukan tunai yang lebih kukuh berjumlah RM91.0 juta setakat 31 Disember 2025 .


TMC Life Sciences yang mengendalikan Hospital Thomson Kota Damansara kini mempunyai kapasiti 554 katil dan terus memperluas rangkaian perkhidmatannya termasuk melalui empat pusat fertiliti.


Di samping itu tambahnya, kumpulan berkenaan turut mengendalikan rangkaian farmasi sendiri bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan. - DagangNews.com