KUALA LUMPUR 21 Mei – Telekom Malaysia Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026) walaupun pendapatan kumpulan terus menunjukkan peningkatan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TM berkata keuntungan bersih syarikat susut 19.87% kepada RM321.51 juta berbanding RM401.26 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Pada masa sama, hasil kumpulan meningkat 2.92% kepada RM2.93 bilion daripada RM2.85 bilion sebelumnya, disokong oleh prestasi segmen utama perniagaan.
“Penurunan keuntungan itu dipengaruhi terutamanya oleh pelarasan sekali sahaja (one-off) melibatkan hapus kira RM127.3 juta bagi kapasiti prabayar 5G yang tidak digunakan,” katanya.
Hapus kira tersebut berkait dengan keputusan Telekom Malaysia Bhd untuk keluar daripada Digital Nasional Bhd (DNB) pada Februari lalu.
Pada Mac, syarikat telekomunikasi itu menegaskan bahawa penamatan perjanjian akses 5G dengan DNB adalah sah, walaupun DNB menyatakan perjanjian berkenaan masih mengikat dari segi undang-undang.
Walaupun terkesan item sekali sahaja, keuntungan PATAMI asas kumpulan meningkat 9.3% tahun ke tahun kepada RM436.3 juta.
Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula merosot kepada RM430.6 juta daripada RM550.3 juta, dipengaruhi kos perkongsian infrastruktur rangkaian mudah alih yang lebih tinggi serta kerugian pertukaran asing operasi.
Syarikat turut mengumumkan dividen interim sebanyak 6.5 sen sesaham, bersamaan kira-kira 78% daripada PATAMI yang dilaporkan, dengan tarikh pembayaran pada 25 Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Bhd, Amar Huzaimi Md Deris berkata kumpulan itu memasuki 2026 dengan asas kukuh dipacu pengukuhan tawaran quad-play merangkumi mudah alih, televisyen dan penyelesaian rumah pintar.
Beliau turut berkata segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan carrier-to-carrier (C2C) menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, khususnya dalam perkhidmatan digital seperti awan, keselamatan siber, perkhidmatan pintar, kecerdasan buatan dan pusat data.
Menurut beliau, semua segmen ini menyumbang kepada peningkatan PATAMI asas sebanyak 9.3%, mencerminkan daya tahan operasi teras serta keberkesanan strategi PWR 2030.
Dalam prospek akan datang, Telekom Malaysia kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan semasa namun menyasarkan untuk terus berada di landasan tepat bagi mencapai panduan kewangan tahun 2026, sambil terus melaksanakan keutamaan strategik bagi menyokong daya saing digital negara.- DagangNews.com








