Untung bersih Teo Seng Capital susut kepada RM64.9 juta pada 4QFY24 kesan harga jualan telur rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Teo Seng Capital susut kepada RM64.9 juta pada 4QFY24 kesan harga jualan telur rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Untung bersih Teo Seng Capital Bhd pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) menyusut 3% kepada RM64.9 juta berbanding RM66.8 juta bagi suku sama tahun sebelumnya kesan daripada harga jualan telur yang rendah.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku tersebut juga susut 5.7% kepada RM188.4 juta berbanding RM199.9 juta pada 4QFY23.

 

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), untung bersih kumpulan itu meningkat kepada RM183.4 juta berbanding RM155.8 juta pada FY23.

 

"Bagaimanapun, hasil Teo Seng Capital bagi FY24 menyusut 0.9% kepada RM753.8 juta berbanding RM760.9 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM159.9 juta bagi segmen penternakan ayam dengan keuntungan kasar sebanyak RM67.6 juta, yang masing-masing menyusut sebanyak 8.8% dan 6.1% berbanding suku yang sama tahun lepas.

 

Penyusutan itu disebabkan harga jualan telur yang lebih rendah walaupun kuantiti jualan lebih tinggi.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, kecekapan teras mereka kekal dalam penternakan, dilengkapi dengan pelaburan dan perdagangan produk berkaitan ayam dengan penggunaan telur semakin meningkat. 

 

Kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan pasaran.

 

"Kumpulan sedang giat meneruskan inisiatif pengembangan kapasiti, disokong kunci kira-kira yang kukuh dan tumpuan kepada kecemerlangan operasi.

 

"Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global yang berterusan dan ketidaktentuan akibat tekanan inflasi, kumpulan tetap yakin dengan daya tahannya. 

 

"Pasukan pengurusan kepakaran dan komitmen kami terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) meletakkan kami dengan baik untuk pertumbuhan yang mampan dan penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan," katanya. - DagangNews.com