KUALA LUMPUR 27 Nov - Keuntungan bersih Sunway Bhd bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 susut 10.09% tahun ke tahun, dipengaruhi oleh peningkatan perbelanjaan operasi dan cukai meskipun mencatat pertumbuhan hasil pada suku berkenaan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, keuntungan bersih bagi tiga bulan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) adalah sebanyak RM338.14 juta, berbanding RM376.08 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Perbelanjaan operasinya melonjak 26% kepada RM2.35 bilion dalam 3QFY2025, berbanding RM1.87 bilion sebelumnya, manakala perbelanjaan cukai meningkat 63% kepada RM88.56 juta daripada RM54.18 juta tahun lalu.
Bagaimanapun, hasil suku tahunan meningkat 26.43% tahun ke tahun kepada RM2.57 bilion daripada RM2.03 bilion.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2025 (9MFY2025), keuntungan bersih Sunway susut 2.09% kepada RM801.64 juta berbanding RM818.78 juta tahun sebelumnya, meskipun hasil meningkat 49.05% kepada RM7.49 bilion daripada RM5.03 bilion.
Kumpulan itu tidak mencadangkan sebarang dividen bagi suku ini. Setakat tahun ini, ia telah mengisytiharkan dividen empat sen, menggandakan jumlah dua sen pada tempoh sama tahun lalu.
Dari segi segmen, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen pembinaan meningkat 73.9% kepada RM121.3 juta daripada RM69.77 juta, disokong oleh kemajuan pesat dalam beberapa projek pusat data. Setakat ini, unitnya Sunway Construction Group Bhd telah menyiapkan lebih 144MW kapasiti pusat data dan sedang menguruskan lapan projek aktif untuk syarikat teknologi global terkemuka.
Segmen penjagaan kesihatan pula mencatat PBT lebih rendah iaitu RM51.4 juta berbanding RM63 juta tahun lalu, disebabkan kerugian operasi permulaan daripada Sunway Medical Centre Damansara (SMC Damansara) dan Sunway Medical Centre Ipoh (SMC Ipoh) yang baru beroperasi.

Tanpa mengambil kira dua hospital baharu tersebut, segmen kesihatan itu sepatutnya mencatat PBT RM75.3 juta, peningkatan 19.4%. Kedua-dua hospital terus meningkatkan operasi, dengan SMC Damansara mencapai titik pulang modal EBITDA sulungnya pada Ogos 2025.
PBT segmen pembangunan hartanah pula merosot 70.2% kepada RM55.1 juta daripada RM185.1 juta, berikutan keuntungan luar biasa RM124 juta yang dicatat pada 3QFY2024 melalui penyiapan projek kondominium eksekutif di Singapura.
Tanpa mengambil kira keuntungan luar biasa itu, prestasi segmen berkenaan kekal stabil, disokong oleh projek pembangunan hartanah berjalan di Malaysia dan Singapura selain jualan hartanah yang sihat.
Mengenai prospek kumpulan, Presiden Sunway Tan Sri Chew Chee Kin berkata Sunway kekal berada di landasan untuk mencatat prestasi kukuh tahun ini.
“Kumpulan dijangka mendapat manfaat daripada ketahanan ekonomi Malaysia yang disokong pembaharuan struktur kerajaan serta pelaksanaan pelan induk nasional yang utama.
“Penubuhan zon ekonomi khas serta pelaburan berterusan daripada sektor awam dan swasta menyediakan persekitaran operasi yang positif, sekali gus memperkukuh potensi pertumbuhan kami,” katanya.
Dalam memperluas perniagaan penjagaan kesihatan, Chew berkata permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti terus meningkat, dipacu oleh peningkatan penyakit tidak berjangkit serta penuaan penduduk.
“Kapasiti katil tambahan juga meningkatkan keupayaan kami menarik pelancong kesihatan, ketika Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan dalam sektor pelancongan perubatan,” katanya.
Saham Sunway meningkat satu sen atau 0.18% kepada RM5.55 pada penutupan dagangan Rabu, memberikan nilai pasaran RM35.06 bilion. Saham tersebut telah meningkat 16% sejak awal tahun. - DagangNews.com








