KUALA LUMPUR 22 Mei – TH Plantations Bhd merekodkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 9.49% kepada RM11.63 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26) berbanding RM12.85 juta pada tempoh sama tahun lalu, terjejas akibat harga jualan minyak sawit mentah (CPO) yang lebih rendah.
Bagaimanapun, kumpulan perladangan itu mencatat peningkatan hasil sebanyak 3.3% kepada RM189.48 juta berbanding RM183.38 juta sebelumnya, disokong peningkatan jumlah jualan CPO dan isirung sawit susulan pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata jumlah jualan CPO meningkat 20.2% kepada 35,247 tan metrik berbanding 29,327 tan metrik pada suku pertama FY2025.
Jumlah jualan isirung sawit pula naik 17.6% kepada 8,736 tan metrik daripada 7,429 tan metrik sebelumnya.
Namun begitu, purata harga direalisasikan bagi CPO susut 12.8% kepada RM4,120 satu tan metrik berbanding RM4,722, manakala harga isirung sawit turun 9.1% kepada RM3,227 satu tan metrik daripada RM3,551 sebelum ini.
Syarikat tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku dalam semakan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations, Datuk Borhan Bachi berkata, kumpulan akan terus mempergiat inisiatif pengoptimuman kos selain meningkatkan produktiviti ladang dan kecekapan penuaian bagi mengukuhkan prestasi operasi.
Menurutnya, prospek operasi dijangka terus mencabar berikutan ketidaktentuan harga CPO serta peningkatan kos operasi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan kos bahan api, baja dan logistik meningkat.
“Tekanan kos ini dijangka berterusan dalam tempoh terdekat dan boleh terus memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, TH Plantations menjangkakan harga CPO kekal menyokong dan mampu mengimbangi peningkatan kos operasi, sekali gus memberi impak positif kepada pendapatan kumpulan.
Kumpulan itu terlibat terutamanya dalam penanaman kelapa sawit dengan keluasan tanaman melebihi 55,000 hektar merangkumi 38 ladang dan enam kilang di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Kalimantan, Indonesia. - DagangNews.com








