Untung bersih SSF Home susut 5% kepada RM5.8 juta pada 4QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SSF Home susut 5% kepada RM5.8 juta pada 4QFY25

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 Jun – Keuntungan bersih SSF Home Group Bhd pada suku keempat berakhir 31 April 2025 (4QFY25) merosot 5% kepada RM5.8 juta berbanding RM6.2 juta pada suku sama tahun lalu, disebabkan margin untung kasar yang lebih rendah.

 

Perolehan suku tahunan meningkat sedikit sebanyak 0.7% kepada RM50.9 juta, disokong oleh jualan dari cawangan baharu yang dibuka.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bagi tahun penuh, untung bersih susut 17.8% kepada RM5.9 juta daripada RM7.2 juta, manakala perolehan turun 4% kepada RM152.5 juta daripada RM158.9.

 

Pengarah Eksekutifnya, Lok Kok Khong berkata, kumpulan kekal komited memperkukuh kedudukan runcitnya melalui penawaran produk bernilai tinggi, strategi harga yang berkesan serta inovasi produk sejajar dengan perubahan keutamaan pengguna.

 

"Syarikat komited melaksanakan rancangan strategik meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.

 

"Ia termasuk pengembangan ke kawasan bandar utama, menambah baik pengalaman runcit dan menyesuaikan diri dengan perubahan cita rasa pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

 

Syarikat menjangkakan peningkatan kos pengeluaran dan logistik akibat peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tekanan inflasi serta pertumbuhan global yang perlahan susulan ketegangan geopolitik dan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

 

Bagaimanapun, syarikat optimis dapat menyesuaikan diri melalui strategi penetapan harga, kecekapan kos yang lebih baik dan kerjasama rantaian bekalan yang kukuh.- DagangNews.com