Untung bersih SNS Network meningkat lebih dua kali ganda kepada RM10.24 juta pada 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SNS Network meningkat lebih dua kali ganda kepada RM10.24 juta pada 1QFY26

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Jun – SNS Network Technology Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih lebih dua kali ganda bagi suku pertama berakhir 30 April 2025 (1QFY26) kepada RM10.24 juta berbanding RM3.74 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil meningkat hampir empat kali ganda kepada RM822.75 juta berbanding RM213.59 juta sebelum ini, dipacu oleh jualan kukuh produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi saluran komersial dan dalam talian.

 

SNS Network merancang membuka 10 cawangan baharu di seluruh Malaysia, disokong peningkatan penggunaan ICT dalam sektor awam dan perniagaan, kemajuan teknologi pesat, inisiatif pendigitalan kerajaan serta penekanan terhadap pendidikan digital di sekolah.

 

Setakat ini, syarikat telah membuka dua kedai konsep pelbagai jenama di Pulau Pinang dan Selangor pada Mei dan November 2024, serta dua kedai khusus berjenama di Pulau Pinang.

 

SNS Network turut menjangkakan permintaan jangka panjang terhadap model langganan peranti sebagai perkhidmatan (device-as-a-service, DaaS), apabila lebih banyak perniagaan beralih kepada akses ICT yang fleksibel dan kos efektif tanpa perbelanjaan modal yang tinggi.

 

Malahan, kecerdasan buatan (AI) dijangka memainkan peranan penting dalam kejayaan masa depan kumpulan.

 

Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.25 sen sesaham bagi FY26, yang akan dibayar pada 28 Ogos ini.- DagangNews.com