Untung bersih SD Guthrie diramal lebih baik pada FY25 dipacu harga minyak sawit mentah lebih tinggi - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SD Guthrie diramal lebih baik pada FY25 dipacu harga minyak sawit mentah lebih tinggi - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - RHB Research meramalkan SD Guthrie Bhd mencatatkan untung bersih lebih baik pada FY25 disokong harga minyak sawit (MSM) dan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pengeluaran BTS daripada tiga negara ia beroperasi dengan sasaran pertumbuhan satu digit selepas keadaan cuaca kemabli normal.

 

"Kami meningkatkan unjuran pertumbuhan BTS pada FY25 kepada 5.8% daripada antara 3% hingga 4%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahuu, SD Guthrie mencatatkan untung bersih hampir empat kali ganda kepada RM772 juta pada 4QFY24, mencerminkan pendapatan asas sesaham sebanyak 11.20 sen, berbanding RM200 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, bagaimanapun, hasil susut kepada RM5.26 bilion berbanding RM5.28 bilion pada 4QFY23.

 

Keuntungan bersih kumpulan itu pada FY24 ialah RM2.16 bilion dan pendapatannya berjumlah RM19.83 bilion. Ia merupakan lonjakan sebanyak 7.61% tahun ke tahun daripada hasil FY23 sebanyak RM18.43 bilion.

 

Hasil kukuh bagi tahun itu didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen hilirannya sebanyak RM17.95 bilion, manakala segmen huluannya menyumbang kepada RM10.25 bilion di seluruh Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea/Kepulauan Solomon.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kos pengeluaran FY25 menjadi sederhana antara 6% hingga 7% kepada RM2,400 setiap tan dengan pengeluaran lebih kukuh dan kos baja yang lebih rendah.

 

Katanya, kumpulan itu telah membuat tender untuk semua keperluan baja FY25 untuk Indonesia dan Papua New Guinea, dan 50% daripada keperluan Malaysia pada harga tahunan yang lebih rendah.

 

"Bagi FY25, SD Guthrie menjangkakan sedikit peningkatan dalam margin di Indonesia, tetapi menjangkakan volum jualan akan kekal lemah.

 

"Kumpulan itu telah membahagikan dua bahagian baharu – tenaga boleh diperbaharui (biogas, biojisim dan aset suria serta jualan/pajakan tanah daripada solar) dan pembangunan perindustrian (jualan dan pembangunan tanah).

 

"Ia menjangkakan untuk melihat beberapa pengiktirafan penjualan tanah daripada kerjasama taman perindustriannya di Johor, Negeri Sembilan dan Perak mula dilaksanakan pada antara suku kedua dan suku ketiga 2025," katanya. - DagangNews.com