KUALA LUMPUR 18 Mac – Sapura Industrial Berhad mencatatkan penyusutan dalam keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (FY26), berikutan volum tempahan lebih rendah.
Menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia hari ini, untung selepas cukai bagi setahun penuh berjumlah RM7.1 juta, berbanding RM8.9 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2025 (FY25).
Hasil kumpulan bagi tempoh sama turut merosot kepada RM264.8 juta daripada RM287.0 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan permintaan perlahan merentasi segmen pengeluar peralatan asli (OEM).
"Bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2026 (4QFY26), untung bersih kumpulan menyusut kepada RM2.1 juta daripada sebanyak RM4.0 juta pada suku yang sama tahun lalu," maklum Sapura Industrial.
Sementara itu, pendapatan suku tahunan tersebut juga jelas kumpulan berkenaan, didapati turun kepada kira-kira RM66.0 juta, berbanding RM73.4 juta dalam tempoh perbandingan yang sama.
Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan suku ketiga (3QFY26), untung bersih menunjukkan peningkatan signifikan daripada RM0.3 juta, didorong pelarasan berkala berkaitan pelanggan yang memberi kesan.

Di sebalik penurunan prestasi tahunan, Lembaga Pengarah Sapura Industrial mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 4.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026.
"Cadangan pembayaran imbuhan ini namun masih lagi tertakluk kepada kelulusan majoriti pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat yang akan datang dalam masa terdekat," katanya.
Mengenai prospek masa hadapan, syarikat merujuk kepada ramalan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang menjangkakan penurunan 3.8% dalam jumlah volum industri (TIV) bagi 2026 kepada 790,000 unit.
Justeru, untuk mendepani cabaran pasaran tersebut, Sapura Industrial akan terus memberikan tumpuan strategik kepada kecekapan operasi, pengoptimuman sumber sedia ada, dan penghantaran tepat masa.
Sehingga kini, kedudukan kewangan kumpulan itu jelasnya, adalah kekal stabil dengan aset bersih sesaham sebanyak RM1.65, meningkat sedikit daripada hanya RM1.61 pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com








