KUALA LUMPUR 18 Mei – Samchem Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.78 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM4.21 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan prestasi secara ketara kira-kira 252% tersebut disebabkan terutamanya oleh margin keuntungan kasar yang lebih tinggi, serta dapat dicapai dalam suku tahun di bawah tinjauan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) naik sebanyak 208% kepada RM18.35 juta berbanding hanya RM5.95 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
"Hasil bagi suku ini namun menyusut kira-kira 6.83% kepada RM268.09 juta daripada RM287.76 juta, berpunca daripada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," kata Samchem.
PBT jelasnya, mencatatkan RM10.1 juta di pasaran Malaysia, iaitu naik 89%, manakala Vietnam pula RM6.94 juta (bertambah 492%) dan Indonesia RM1.1 juta berbanding kerugian RM0.94 juta sebelumnya.
Singapura merekodkan PBT cuma RM0.22 juta, iaitu turun 42%, dan mengenai prospek masa hadapan, ia menyatakan keyakinan berhati-hati meskipun berdepan dengan landskap makroekonomi tidak menentu.
Jelas Samchem, antara cabaran kumpulan tersebut ialah isu ketegangan geopolitik, termasuk konflik AS-Iran yang mempengaruhi harga minyak mentah dan bekalan bahan kimia di pasaran antarabangsa.
"Gangguan di Selat Hormuz mengakibatkan kenaikan harga jualan bahan kimia, sekali gus turut menyokong margin keuntungan syarikat melalui rantaian bekalan berdaya tahan di Asia Tenggara," katanya.
Pelaburan berterusan kumpulan dalam infrastruktur, termasuk projek terminal baharu, dijangka mewujudkan aliran hasil yang lebih stabil, dan memperkukuhkan model rantaian bekalan secara bersepadu.
Bagi suku tahun ini, Samchem tidak mencadangkan sebarang dividen, selepas membayar dividen interim kedua sebanyak 0.8 sen sesaham berjumlah RM4.35 juta pada 24 April 2026. - DagangNews.com
Untung bersih Samchem naik 252% kepada RM14.7 juta bagi 1QFY26 didorong margin kasar lebih tinggi

Oleh AMREE AHMAD







