KUALA LUMPUR 26 Feb - Untung bersih Public Bank Bhd meningkat sebanyak 7.5% kepada RM7.15 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM6.65 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan pembalikan lebihan peruntukan cukai pada tahun-tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan juga meningkat kepada RM27.20 bilion daripada RM25.41 bilion.
Kumpulan itu berkata, keuntungan kasar meningkat 4.6% kepada RM8.93 bilion pada FY24, menyisihkan kemerosotan nilai muhibah sebanyak RM473.8 juta yang ditanggung untuk operasi Hong Kong kumpulan, keuntungan sebelum cukai kumpulan itu akan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 10.1%.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) sahaja, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM1.8 bilion, meningkat daripada RM1.62 bilion pada 4QFY23, manakala hasil meningkat kepada RM7.06 bilion daripada RM6.55 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.
Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 11 sen sesaham, dengan tarikh kelayakan pada 13 Mac 2025, dan dijadualkan untuk pembayaran pada 24 Mac 2025.
Mengenai kunci kira-kira, Public Bank berkata, portfolio pinjaman berkembang 6.7% kepada RM397.7 bilion.
"Sepanjang tahun itu, Public Bank mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam pinjaman domestik yang baru diluluskan bagi pembiayaan sewa beli dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masing-masing meningkat sebanyak 16.3% dan 41%.
"Ini akan terus menyokong pertumbuhan pinjaman yang stabil pada 2025," katanya dalam satu kenyataan.
Jumlah deposit pelanggan berjumlah RM433.3 bilion pada akhir Disember 2024, mewakili pertumbuhan 4.9% daripada tahun sebelumnya.
Pendapatan bukan faedah kumpulan itu meningkat 15.2% tahun ke tahun kepada RM2.85 bilion pada 2024, dipacu terutamanya oleh prestasi lebih kukuh dalam unit amanah, pelaburan dan operasi pembrokeran saham.
Cabang unit amanahnya, Public Mutual, mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM860 juta pada 2024, mewakili pertumbuhan 7.8% daripada 2023 dan menyumbang 9.6% kepada keuntungan keseluruhan sebelum cukai kumpulan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, prestasi kumpulan pada 2024 disokong pertumbuhan mampan dalam kedua-dua perniagaan pinjaman dan deposit, dan seterusnya disokong pertumbuhan yang lebih kukuh dalam pendapatan bukan faedah.
Katanya, ia ditambah dengan pengurusan kos berhemat seperti yang dibuktikan oleh nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 34.5%, kumpulan mencapai pulangan bersih pada ekuiti sebanyak 13.2%.
"Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) untuk 2024 kekal rendah pada 0.5%, menonjolkan pengurusan risiko kredit Public Bank yang kukuh dan portfolio pinjaman berdaya tahan.
"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman kekal berhemat pada 166.2% pada akhir Disember 2024," katanya. - DagangNews.com








