Untung bersih OSK pada FY24 meningkat 14.9% kepada RM536.5 juta didorong peningkatan sumbangan dalam semua segmen perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih OSK pada FY24 meningkat 14.9% kepada RM536.5 juta didorong peningkatan sumbangan dalam semua segmen perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - OSK Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 14.9% kepada RM536.5 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM466.9 juta pada tahun sebelumnya didorong peningkatan sumbangan dalam semua segmen perniagaan.

 

Hasil kumpulan juga meningkat sebanyak 4% kepada RM1.66 billion berbanding RM1.58 bilion pada FY23.

 

Bagi 4QFY24 kumpulan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 4% kepada RM440.4 juta manakala untung bersih meningkat kepada RM147.6 juta, didorong prestasi yang lebih  merentas kebanyakan unit perniagaan.

 

Keuntungan operasi teras meningkat sebanyak 11% kepada RM95.5 juta, dan keuntungan daripada aktiviti pelaburan meningkat 38% kepada RM92.1 juta, sebahagian besarnya disokong oleh sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada RHB Bank.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, prestasi cemerlang itu mencerminkan daya tahan dan tumpuan strategik kumpulan dalam memperkukuh perniagaan teras selain merebut peluang baharu untuk pertumbuhan.

 

"Kami kekal komited terhadap pelaksanaan yang berdisiplin, pengurusan kewangan yang berhemat dan menyampaikan nilai yang mampan untuk pemegang kepentingan kami.

 

"Dengan portfolio yang pelbagai dan asas yang kukuh, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menavigasi keadaan pasaran yang berkembang dan memacu kemampanan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Segmen hartanah mencatatkan keuntungan kasar lebih tinggi sebanyak RM154.3 juta pada FY24, meningkat 6% daripada FY23, walaupun penurunan hasil sebanyak 5% kepada RM877.3 juta.

 

Keuntungan kasar segmen untuk FY24 dipacu projek yang sedang dijalankan, termasuk LEA oleh The Hills di Melawati, Rubica di Butterworth, Anya di Shorea Park di Puchong, Iringan Bayu di Seremban dan Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani.

 

Kumpulan itu berkata, segmen perkhidmatan kewangan meneruskan trajektori pertumbuhan yang kukuh pada FY24, dengan hasil meningkat 33% kepada RM227.0 juta dan keuntungan kasar meningkat 21% kepada RM103.0 juta.

 

Prestasi kukuh itu didorong pengembangan perniagaan di Malaysia dan Australia, meningkatkan portfolio pinjamannya kepada RM2.2 bilion pada FY24, berbanding RM1.7 bilion setahun sebelumnya.

 

Segmen Industri mencatatkan pendapatan RM444.5 juta untuk FY24, menandakan peningkatan 12% daripada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, keuntungan kasar merosot 14% kepada RM40.9 juta, terutamanya disebabkan kos tambahan yang ditanggung di dua kilang pembuatan kabel yang baru diambil alih di Johor Bahru. - DagangNews.com