Untung bersih MyNews berpotensi naik sehingga RM6 juta pada 1QFY25, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MyNews berpotensi naik sehingga RM6 juta pada 1QFY25, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - MyNews Holdings Bhd berpotensi besar mencatatkan peningkatan untung bersih pada 1QFY25 antara RM5 juta hingga RM6 juta didorong pemulihan berterusan merentasi semua unit perniagaan, kata RHB Research.

 

Katanya, peningkatan keuntungan dari suku tahun ke suku tahun itu disokong pengembangan margin daripada rebat pembekal pada akhir tahun dan jualan yang lebih tinggi semasa tempoh perayaan serta cuti sekolah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyatuan perolehan bekalan MyNews dan CU telah mengukuhkan kuasa tawar-menawar kumpulan dengan pembekal, membawa kepada peningkatan 2.5ppts margin untung kasar kumpulan kepada 37.6% pada FY24.

 

"Bersama-sama dengan kawalan pembaziran yang lebih baik dan pendekatan yang lebih selektif terhadap unit penyimpanan stok atau SKU, ia telah mengecilkan kerugian CU, membawanya hampir situasi lebih baik.

 

"Sementara itu, bahagian pasaran MyNews kini meningkat antara 9.5% hingga 10% berbanding 8% sebelum ini," katanya dalam atu nota kajian.

 

RHB Research berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka antara 80 hingga 100 cawangan baharu di seluruh negara, dengan 80% daripadanya beroperasi di bawah jenama Mynews.

 

Katanya, cawangan Maru Coffee juga menunjukkan prestasi yang baik, dengan 10-15 kedai baharu disasarkan untuk FY25.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, pusat pemprosesan makanan (FPC) akan meneruskan pemulihan perolehannya, dengan untung kasar bagi suku keempat tahun kewangan 2024 berjumlah RM70,000.

 

"Pemulihan ini disokong peluasan agresif rangkaian cawangan Mynews, yang dijangka meningkatkan jumlah jualan dan kadar penggunaan unit ini.

 

"Dengan FPC kini beroperasi pada kadar 70%, ia mempunyai kapasiti mencukupi untuk memenuhi permintaan yang bakal meningkat selari dengan pertumbuhan kedai," katanya.

 

Katanya, bagi tahun kewangan 2025, keuntungan sebelum cukai segmen itu diunjurkan mencecah RM3 juta, berbanding anggaran kerugian RM1.3 juta pada tahun kewangan 2024.- DagangNews.com