KUALA LUMPUR 6 April — Mynews Holdings Berhad diunjur mencatat penyusutan keuntungan bersih hingga 2% bagi tahun kewangan 2026 susulan tekanan kos luar jangka, menurut CGS International (CGSI).
Situasi itu mencerminkan cabaran operasi jangka pendek ketika ini, dengan firma tersebut mengambil kira segala kos pembaikan, peningkatan pelaburan perisian serta perbelanjaan penstrukturan semula.
Selain itu, prestasi turut terjejas oleh konflik Timur Tengah yang menjejaskan trafik pelanggan di cawangannya di KLIA berikutan pengurangan ketibaan pelancong dari Asia Barat dan benua Eropah.
"Bagaimanapun, kesan ke atas premis Mynews tersebut sebahagiannya dapat diimbangi oleh peningkatan pelancong dari China serta ramai pelanggan domestik," kata CGSI dalam nota analisisnya hari ini.
Firma penyelidikan tersebut menjangkakan suku kedua FY26 kekal lemah disebabkan faktor bermusim Ramadan, sebelum prestasi syarikat kembali pulih pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26).
Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan ‘tambah’ terhadap saham kumpulan ini namun harga sasaran (TP) susut kepada 98 sen daripada RM1, berdasarkan model pertumbuhan Gordon (GGM).

Dari segi pertumbuhan kata CGSI, Mynews dijangka memperluaskan rangkaian kedai dengan penambahan 60 cawangan setahun, berbanding sekitar 30 pada 2024, selain menutup cawangan berprestasi lemah.
"Pada masa sama, segmen makanan sedia dimakan (RTE) dilihat terus menjadi pemacu utama peningkatan jualan kumpulan berkenaan melalui nilai pembelian pelanggan yang lebih tinggi," kata firma itu.
Ia turut menganggarkan hasil kumpulan tersebut berkembang pada kadar tahunan 8.3% bagi tempoh FY25 hingga FY28, walaupun syarikat itu berdepan dengan pelbagai tekanan yang bersifat jangka pendek.
Saham Mynews jelas CGSI, dilihat masih menarik pada penilaian 13.8 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi CY26, yang lebih rendah berbanding rakan setara serantau sekitar 15 hingga 25 kali.
Di samping itu firma berkenaan turut melihat potensi pemangkin termasuk pemulihan berterusan perniagaan kedai jenama CU dan langkah rasionalisasi kos yang lebih agresif oleh kumpulan. - DagangNews.com








