KUALA LUMPUR 25 Mac – MyAxis Group Berhad melaporkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM1.447 juta bagi tempoh suku kedua yang berakhir pada 31 Januari 2026 (2QFY26).
Perkembangan positif tersebut menurut kumpulan berkenaan, didorong oleh penambahbaikan strategi penetapan harga dan kos perolehan yang semakin lebih rendah dalam perniagaan daging.
Prestasi ini juga katanya, menunjukkan lonjakan berbanding keuntungan bersih hanya sebanyak RM818,000 yang dicatatkan pada suku pertama sebelumnya pada 31 Oktober 2025 (1QFY26).
"Bagaimanapun pendapatan kumpulan bagi suku dikaji berjumlah RM55.101 juta, susut daripada RM66.074 juta pada suku terdahulu," maklum MyAxis kepada Bursa Malaysia hari ini.
Penurunan pendapatan ini jelasnya, disebabkan oleh faktor volum jualan yang lebih rendah bagi segmen sumber dan pengedaran produk sejuk beku sepanjang tiga bulan tersebut.
Kecekapan kos namun membolehkan kumpulan berkenaan mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) yang lebih tinggi iaitu RM2.047 juta berbanding RM1.179 juta pada suku sebelumnya.
Pecahan pendapatan suku kedua menunjukkan sumber dan pengedaran produk sejuk beku adalah RM52.822 juta, manakala pemprosesan dan jualan produk daging proses mencecah RM2.279 juta.
"Secara kumulatif bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Januari 2026, MyAxis mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM121.175 juta dengan keuntungan bersih berjumlah RM2.265 juta," katanya.
Mengenai prospek masa depan, Lembaga Pengarah masih kekal optimis memandangkan permintaan produk daging di Malaysia adalah stabil dan diunjurkan berkembang pada kadar 6.1% sehingga tahun 2027.
Kumpulan berkenaan tambahnya, akan terus memantau perkembangan industri dengan fokus untuk mengekalkan pengaturan sumber yang stabil, dan meningkatkan portfolio produk daging proses.
Di samping itu, pihak pengurusan MyAxis akan menilai pelbagai peluang untuk menembusi pasaran serantau dengan menggunakan pensijilan halal Malaysia yang diakui dunia. - DagangNews.com








