Untung bersih MRCB merosot 26% kepada RM47.3 juta bagi FY25, berikutan penurunan perolehan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MRCB merosot 26% kepada RM47.3 juta bagi FY25, berikutan penurunan perolehan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 AprilMalaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencatatkan keuntungan bersih RM47.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, iaitu penyusutan 25.68%. 


Pencapaian ini adalah lemah berbanding RM63.67 juta yang diraih pada tahun sebelumnya, disebabkan terutama oleh penurunan perolehan daripada segmen tertentu seperti kejuruteraan, dan persekitaran.


Segmen pembinaan menyumbang perolehan sebanyak RM944.8 juta, berbanding RM1.27 bilion pada 2024, manakala segmen hartanah mencatatkan RM171.1 juta, daripada RM253.5 juta bagi tahun sebelumnya.


"Secara keseluruhan perolehan kumpulan ini merekodkan sejumlah RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2025 berbanding sebanyak RM1.6 bilion dicatatkan pada FY24," maklum MRCB kepada Bursa Malaysia.


Kumpulan berkenaan katanya, melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM73.2 juta, dan Lembaga Pengarah mengesyorkan pembayaran dividen satu peringkat pertama dan akhir 1.0 sen sesaham.


Pembayaran dividen berkenaan menurut kenyataan MRCB, dijangka melibatkan implikasi kewangan yang mencecah sebanyak RM44.7 juta dan akan dilaksanakan kumpulan tersebut bermula pada 20 Mei 2026.


Sementara itu ujarnya, nilai aset bersih sesaham syarikat berkenaan masih berada pada paras stabil RM1.03, manakala kadar penggearan atau hutang bersih kumpulan tersebut adalah 0.41 kali ganda.


"Menyentuh mengenai perkembangan korporat, syarikat ini sudah mendapat kelulusan pemegang saham bagi pengambilalihan 80% pegangan ekuiti dalam Bukit Jalil Sentral Property Sdn Bhd," tambahnya.


MRCB berkata, kumpulan tersebut akan membeli ekuiti berkenaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan nilai pertimbangan mencecah sebanyak RM1.58 bilion secara tunai.


Syarikat itu kekal fokus kepada aktiviti teras dalam pembangunan hartanah dan kontrak pembinaan, dengan baki kontrak yang masih kukuh bagi menyokong prestasi masa hadapan. - DagangNews.com