Untung bersih MISC naik 5% kepada RM741.4 juta pada 1QFY2026 susulan pelupusan kapal, umum dividen 8 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MISC naik 5% kepada RM741.4 juta pada 1QFY2026 susulan pelupusan kapal, umum dividen 8 sen sesaham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei – MISC Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 apabila prestasi kumpulan disokong oleh keuntungan daripada pelupusan kapal serta sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha sama, meskipun berdepan tekanan dalam beberapa segmen operasi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan bersih kumpulan meningkat 5% kepada RM741.4 juta, bersamaan tambahan RM35.7 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan prestasi yang lebih kukuh secara keseluruhan.

 

“Hasil kumpulan turut meningkat 2.7% kepada RM2.89 bilion, dipacu oleh prestasi stabil dalam segmen perkapalan utama walaupun keadaan pasaran global kekal mencabar,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dividen Interim 8 Sen Sesaham Bagi 1QFY2026

Seiring prestasi tersebut, MISC mengumumkan dividen interim sebanyak lapan sen sesaham yang akan dibayar pada 25 Jun ini sebagai pulangan kepada pemegang saham.

 

Bagaimanapun, keuntungan operasi susut 10.5% kepada RM766.8 juta, terkesan oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat walaupun dibantu oleh keuntungan pelupusan kapal sebanyak RM155.3 juta.

 

Penurunan keuntungan operasi turut dipengaruhi oleh pendapatan yang lebih rendah daripada perkhidmatan kapal gas asli cecair (LNG) serta kesan daripada operasi segmen luar pesisir disebabkan penutupan sebuah unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang menjejaskan sumbangan keseluruhan pendapatan kumpulan.

 

Namun, impak tersebut sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih baik dalam segmen kapal tangki minyak mentah dan petroleum yang mencatatkan pendapatan lebih kukuh.

 

Dalam perkembangan pasaran, kadar sewaan kapal LNG meningkat sedikit susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan dijangka kekal melebihi paras sebelum konflik, disokong oleh permintaan jangka panjang yang kukuh dalam sektor tenaga global.

 

Segmen LNG Dan FPSO Beri Tekanan, Operasi Operasi Terkesan Pengukuhan Ringgit

Bagi kapal tangki minyak, kadar sewaan turut melonjak pada Mac 2026 berikutan gangguan di Selat Hormuz sebelum kembali stabil, namun kekal pada paras yang masih tinggi bergantung kepada perkembangan geopolitik semasa.

 

MISC berkata kapal LNG lama berasaskan teknologi stim semakin kurang mendapat permintaan kerana pelanggan kini cenderung memilih kapal baharu yang lebih cekap tenaga yang mendorong syarikat mempercepatkan strategi pemodenan armada.

 

Syarikat juga memberi fokus kepada pengurangan kapal tidak aktif, mengoptimumkan portfolio serta penempatan semula aset bagi meningkatkan kecekapan operasi dan menjana pulangan lebih stabil.

 

Dari segi aliran tunai, MISC merekodkan lonjakan 61.7% kepada RM1.25 bilion berbanding RM773.1 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh kekuatan operasi asas kumpulan.

 

Prospek segmen luar pesisir kekal positif dengan jangkaan projek baharu FSPO di Amerika Selatan, Afrika dan Asia Pasifik, disokong oleh harga minyak yang kukuh serta faktor geopolitik global.

 

Sementara itu, segmen marin dan kejuruteraan berat kekal bercampur, disokong oleh aktiviti pembaikan kapal, kerja penukaran serta projek berkaitan luar pesisir walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata keputusan suku pertama mencerminkan daya tahan kumpulan dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu, disokong oleh kepelbagaian portfolio perniagaan, disiplin kos serta keupayaan menjana nilai merentasi pelbagai segmen.

 

Beliau berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pemodenan armada, pengukuhan kontrak jangka panjang, mengoptimumkan portfolio serta penerokaan peluang dalam penyelesaian maritim konvensional dan rendah karbon bagi memastikan pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

 

Saham MISC ditutup meningkat 1.22% kepada RM8.33 pada rehat tengah hari  dengan kumpulan kini dinilai pada sekitar RM37.18 bilion di Bursa Malaysia. - DagangNews.com