KUALA LUMPUR 14 April – MISC Berhad mencatatkan peningkatan 43% keuntungan bersih kepada RM1.7 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM1.2 bilion pada FY24.
Peningkatan ketara ini didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen luar pantai, selain hasil permulaan operasi kapal FPSO Marechal Duque de Caxias serta penerimaan tuntutan insurans.
Di samping itu jelasnya, keuntungan kumpulan turut disokong oleh peruntukan penurunan nilai yang lebih rendah berbanding tahun kewangan 2024, dan keuntungan berkaitan dengan isu pembiayaan.
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi FY25 adalah RM1.862 bilion iaitu naik 45.1%, manakala aliran tunai operasi meningkat 32% kepada RM5.656 bilion," maklum MISC kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan itu mencatatkan pendapatan RM11.146 bilion, turun 15.8% daripada RM13.237 bilion pada FY24, namun dividen ditetapkan sebanyak 38 sen sesaham, meningkat daripada tahun sebelumnya.
Ujarnya, walaupun keuntungan yang lebih tinggi, hasil syarikat berkenaan menyusut sebanyak 15.8%, disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen aset dan rumusan gas ekoran beberapa isu.

Antaranya kata MISC, bilangan hari perolehan yang berkurangan, penamatan kontrak, dan pelupusan kapal, manakala segmen kejuruteraan marin dan berat (MHB) turut mencatatkan penurunan pendapatan.
"Situasi tersebut disebabkan projek-projek yang sedia ada kini menghampiri fasa penyelesaian, sementara kontrak baharu pula masih lagi di peringkat awal fabrikasi," jelas kumpulan berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zahid Osman berkata, pelaksanaan konsisten membuahkan hasil kewangan yang lebih kukuh pada tahun 2025, serta memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.
Bagi segmen petroleum dan produk, prestasi kekal kukuh didorong oleh kadar tambang lebih tinggi dan peningkatan hari perolehan, sekali gus mengejar peluang pertumbuhan sasaran ditetapkan MISC.
Syarikat berkenaan juga kata beliau, berjaya mengurangkan nisbah penggearan bersih kepada 0.20 kali ganda berbanding 0.23 pada tahun sebelumnya, mencerminkan pengurusan modal yang berdisiplin.
"Melangkah ke hadapan, kami akan terus menumpukan kepada kualiti pendapatan dan ketahanan kunci kira-kira dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu," tambah Zahid. - DagangNews.com








