KUALA LUMPUR 12 Feb – Maxis Berhad mencatat prestasi kewangan yang positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 apabila keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak kepada RM1.56 bilion.
Menurut kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia naik 11.8% tahun ke tahun (YoY) didorong oleh aspek pengukuhan pendapatan kasar dan pengurusan disiplin kos secara berterusan.
Katanya, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 5.0% YoY kepada RM4.33 bilion, antara paras tertinggi pernah dicapai kumpulan telekomunikasi tersebut.
"Situasi yang lebih baik ini turut mencerminkan kecekapan dalam operasi, inisiatif pendigitalan serta pengurusan kos syarikat secara berdisiplin dilaksanakan sepanjang FY25," kata Maxis lagi.
Bagi meraikan prestasi itu, ia mengumumkan jumlah dividen 17.5 sen merangkumi dividen interim keempat sebanyak 4 sen dan dividen khas sekali sahaja 1.5 sen sesaham bagi suku keempat 2025.
Jelasnya, dari segi hasil perkhidmatan pula didapati meningkat sederhana 0.5% kepada RM8.91 bilion, disokong oleh pertumbuhan dalam segmen perusahaan dan prestasi stabil perniagaan pengguna.
Sementara segmen kediaman pengguna mencipta pencapaian baharu apabila mencecah RM1 bilion buat kali pertama, manakala segmen perniagaan perusahaan merekodkan pertumbuhan hasil RM1.67 bilion.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata prestasi tersebut sejajar dengan panduan kumpulan, sambil menegaskan fokus untuk terus memperkukuh segmen pengguna.
"Kami akan mengembangkan penawaran perusahaan yang melepasi ketersambungan serta memanfaatkan pendigitalan berasaskan kecerdasan buatan (AI)," kata beliau dalam satu kenyataan kumpulan itu.
Langkah berkenaan tambahnya, dijangka meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan masa depan, dengan Maxis sepanjang FY25, juga memperkukuh asas pertumbuhan jangka panjang melalui beberapa inisiatif.
Antaranya jelas beliau, termasuk penerimaan penugasan spektrum 2100MHz daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta perluasan rangkaian gentian optik milik sendiri.
Kumpulan penyedia perkhidmatan telekomunikasi tersebut turut akan melancaran sokongan perbualan GenAI, serta pengenalan rumusan baharu seperti Maxis Home Solar dan Rangkaian Selamat Kuantum.
Dengan aliran tunai bebas operasi meningkat 17.2% kepada RM3.58 bilion dan perbelanjaan modal kekal selari dengan panduan sekitar RM1 bilion, Maxis berada pada kedudukan kewangan yang kukuh.
Sehubungan itu, Seow Eng optimis yang kumpulan berkenaan dapat meneruskan pelbagai lagi strategi pertumbuhan secara mampan pada tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com








