Untung bersih Kronologi Asia pada 4QFY25 melonjak 3 kali ganda kepada RM6.34 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Kronologi Asia pada 4QFY25 melonjak 3 kali ganda kepada RM6.34 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Untung bersih pembekal pengurusan data perusahaan hibrid dan teknologi awan, Kronologi Asia Bhd pada suku keempat berakhir 31 Januari 2025 (4QFY25) naik tiga kali ganda kepada RM6.34 juta berbanding RM2.02 juta bagi suku sama tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan itu berkata, lonjakan keuntungan itu dipacu perbelanjaan operasi yang lebih rendah, terutamanya dalam kos kakitangan dan turun naik pertukaran asing.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanpun susut kepada RM89.9 juta berbanding RM91 juta pada 4QFY24.

 

Untung bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25) naik kepada RM11.46 juta berbanding RM8.62 juta dipacu peningkatan hasil sebanyak RM301.6 juta berbanding RM301.4 juta pada FY24.

 

"Sebahagian besar daripada pendapatan kumpulan terus disumbangkan dari Singapura, China dan Filipina dengan nilai keseluruhan RM249.14 juta atau 82.6% daripada jumlah hasil keseluruhan.

 

"Mengikut segmen perniagaan, hasil yang disumbangkan segmen teknologi infrastruktur pengurusan data perusahaan (EDM) berjumlah RM232.577 juta atau 77.1% daripada jumlah hasil, yang setanding dengan tahun kewangan sebelumnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Edmond Tay berkata, kekuatan model perniagaan kumpulan menghasilkan keuntungan yang lebih baik kerana struktur penstrukturan semula modal dan pelaksanaan program yang berkesan.

 

"Kami mengalami asas permintaan pelanggan lebih luas merentas simpanan data kecerdasan buatan (AI) dan beban kerja dipacu data lain dan langganan kami yang memacu kadar penggunaan dan memberi pelanggan kuasa untuk memanfaatkan infrastruktur teknologi mereka," katanya. - DagangNews.com