Untung bersih Hong Leong Bank pada 2QFY25 meningkat 5.53% kepada RM1.15 billion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Hong Leong Bank pada 2QFY25 meningkat 5.53% kepada RM1.15 billion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Feb - Untung bersih Hong Leong Bank Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) meningkat 5.53% kepada RM1.15 bilion berbanding RM1.09 billion pada suku sama tahun lalu dipacu sumbangan pendapatan faedah bersih (NII) dan sumbangan perbankan Islam yang lebih tinggi. 

 

Hasil kumpulan itu meningkat 11.42% kepada RM1.63 bilion, berbanding RM1.46 bilion pada 2QFY24 dan pada masa sama mereka mengisytiharkan dividen sebanyak 28 sen sesaham, perlu dibayar pada 26 Mac 2025.

 

Katanya, bagi enam bulan berakhir 31 Disember 2024 (1HFY25), untung bersih bank itu meningkat 5.68% kepada RM2.24 billion berbanding RM2.12 bilion tahun lalu, apabila jumlah pendapatannya melonjak 16.47% kepada RM3.23 bilion daripada RM2.86 bilion pada 1HFY24.

 

"Bagi 1HFY25, NII meningkat 8.3% tahun ke tahun kepada RM2.47 bilion, diterajui pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang kukuh, serta pengurusan kos pembiayaan yang berkesan. 

 

"Margin faedah bersih (NIM) meningkat enam mata asas dari tahun ke tahun kepada 1.91%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, pendapatan bukan faedah (NOII) melonjak 31.3% tahun ke tahun kepada RM757 juta, didorong pendapatan pengurusan kekayaan yang lebih tinggi dan keuntungan yang menggalakkan daripada aktiviti perbendaharaan dan tukaran mata wang asing.

 

Pada suku tersebut, portfolio pinjaman dan pembiayaan kasar bank meningkat 7.7% kepada RM199.4 bilion, disumbangkan pengembangan dalam gadai janji, pinjaman kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial, serta pasaran utama luar negara.

 

Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bank berada pada 0.55%, manakala nisbah perlindungan rosot nilai pinjamannya ialah 139%.

 

Dari segi perbelanjaan operasi, nisbah kos kepada pendapatan (CIR) kumpulan meningkat secara berurutan kepada 38.8%, daripada 39.1% pada 1QFY25.

 

Mengulas mengenai prospek, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Kevin Lam berkata, penggunaan swasta yang berdaya tahan ditambah peningkatan realisasi projek pelaburan akan menjadi tonggak pertumbuhan utama dan mengurangkan ketidaktentuan yang semakin meningkat.

 

"Kami akan memanfaatkan kekuatan dalam teknologi dan kecerdasanbuatan (AI) bagi menyampaikan rumusan perbankan inovatif yang memenuhi keperluan pelanggan dengan berkesan merentas semua segmen.


"Bank juga kekal komited dalam melaksanakan strategi dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara dalaman dan luaran, bagi memberi impak bermakna kepada semua pemegang kepentingannya," katanya. - DagangNews.com