Untung bersih Hiap Teck melonjak tiga kali ganda kepada RM68.7 juta pada 2QFY26 didorong permintaan tinggi keluli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Hiap Teck melonjak tiga kali ganda kepada RM68.7 juta pada 2QFY26 didorong permintaan tinggi keluli

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac – Hiap Teck Venture Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih lebih tiga kali ganda pada suku kedua berakhir 31 Januari 2026, disokong oleh kenaikan hasil jualan dan sumbangan lebih kukuh daripada entiti usaha sama (JV).

 

Keuntungan bersih bagi tiga bulan berakhir 31 Januari 2026 (2QFY2026) ialah RM68.72 juta atau pendapatan sesaham (EPS) 3.95 sen, berbanding RM20.44 juta atau EPS 1.17 sen pada 2QFY2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pendapatan suku tahunannya meningkat 14.1% kepada RM397.37 juta berbanding RM348.26 juta tahun sebelumnya didorong oleh peningkatan jumlah jualan walaupun harga jualan purata lebih rendah sepanjang tempoh tersebut.

 

“Sumbangan kumpulan daripada entiti JV meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM70.62 juta pada 2QFY2026, berbanding RM25.24 juta pada tempoh sama tahun lepas, berikutan prestasi operasi yang lebih baik, sokongan daripada perkongsian jualan gegelung keluli panas yang lebih tinggi serta kesan pertukaran mata wang asing,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagi enam bulan pertama berakhir 31 Januari 2026 (1HFY2026), keuntungan bersih meningkat lebih dua kali ganda kepada RM112.27 juta daripada RM55.13 juta pada 1HFY2025, manakala hasil naik 4.21% kepada RM781.58 juta daripada RM749.98 juta sebelum ini.

 

Kumpulan itu berkata keadaan pasaran keluli global dijangka kekal mencabar, dengan harga terus tertekan berikutan permintaan yang lebih perlahan dan ketidakseimbangan bekalan yang berterusan.

 

“Kenaikan eksport keluli dari China terus memberi tekanan kepada harga serantau, manakala perkembangan geopolitik, termasuk ketegangan di Timur Tengah, berpotensi menyumbang kepada volatiliti harga tenaga, kos logistik dan aliran perdagangan global,” kata kumpulan itu.

 

Di dalam negara, Hiap Teck berkata ekonomi tempatan kekal mampan dan dijangka terus menyokong sektor pembinaan serta pembuatan, yang seterusnya menyokong permintaan terhadap produk keluli.

 

Kumpulan itu berkata ia akan terus menumpukan kepada kecekapan operasi, pengurusan kos yang berhemah serta aktiviti perdagangan yang berdisiplin, sambil memanfaatkan kepelbagaian segmen perniagaan untuk menyokong prestasi mampan pada suku-suku akan datang.

 

Setakat ini, tiada dividen diumumkan pada suku tersebut. - DagangNews.com